Followers

Sunday, August 30, 2009

Bahasa rungus akan mengalami kepupusan??

Membaca keluhan beberapa rakan blogger yang melahirkan kebimbangan mereka mengenai 'fenomena' kepupusan bahasa ibunda dikalangan KDM dimasa akan datang, saya terpanggil untuk menulis mengenai isu ini memandangkan suku kaum rungus di Matunggong juga turut mengalami masalah yang sama. Saya percaya perkara ini bukanlah perkara baru dan telahpun dibahaskan beberapa kali samada melalui media atau bengkel yang dianjurkan oleh pencinta bahasa ibunda. Namun sejauh mana usaha ini mendatangkan kesan dan mempengaruhi minda golongan muda yang pastinya menjadi sasaran.

Menurut statistik dari sumber yang boleh dipercayai dan boleh diterima pakai, 90% dalam kalangan generasi baru yang berumur dalam lingkungan 1 hingga 28 tahun, tidak lagi mampu bertutur dalam bahasa ibunda yakni bahasa rungus dengan fasih. Kalaupun ada dikalangan genarasi baru ini boleh bertutur dalam bahasa tersebut kemungkinan besar istilah, intonasi dan sebutan tidak lagi seperti yang kita harapkan sebagai mewarisi bahasa yang kaya dengan perbendaharaan kata ini.

Untuk membuktikan dakwaan ini benar, masuk lah ke kampung-kampung di seluruh kawasan matunggong. Samada kampung tersebut terletak berdekatan pekan atau kampung yang terletak nun jauh di pedalaman. Ajaklah anak-anak muda generasi baru bertutur dalam bahasa ibunda. Jangan hairan kalau mereka nanti akan bertutur dalam bahasa melayu dengan pelat bahasa rungus.

Dalam konteks ini saya tidak berniat menyalahkan siapa-siapa. Kita sebenarnya harus memikul beban dan berani memikul tanggungjawab jika kita mahu suatu hari nanti bahasa rungus tetap kekal dan tidak akan lenyap secara perlahan-lahan di muka bumi ini. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam posting saya sebelum ini, masyarat rungus kini mampu memiliki apa saja yang kita hajati. Tidak keterlaluan kalau saya katakan masyarakat rungus pada hari ini setanding dengan bangsa lain. Duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan suku kaum lain di Sabah. Bagi saya tidak ada relevanya kita harus membiarkan bahasa rungus lenyap tanpa suatu pendekatan yang konkrit untuk membendung 'masalah' ini dari terus berlaku dan sudah tentu kita tidak sanggup melihat genarasi kita yang akan datang meratap kerana kehilangan identiti disebabkan kesilapan nenek moyang mereka. Tidak ada maknanya kita menerokai ilmu sampai ke angkasa lepas jika kita telah kehilangan identiti.

Saya amat bersyukur kerana dalam kehidupan yang serba mencabar ini, keluarga saya masih mengangkat bahasa rungus sebagai bahasa pertuturan di rumah walaupun saya dikelilingi ramai rakan-rakan dan saudara mara yang tidak lagi bertutur bahasa ibunda terutama dengan anak-anak mereka. Mungkin kerana saya terlalu mencintai bahasa ibunda sejak dulu maka saya mengambil pendekatan membiasakan anak-anak saya berbahasa rungus di rumah walaupun ada juga rakan saya yang mencadangkan agar saya membiasakan anak-anak saya berbahasa melayu sebagai persediaan menghadapi alam persekolahan nanti. Tapi bagi saya semua itu bukanlah penentu kejayaan dalam bidang akademik. Sebagai bukti ramai juga orang kita yang berjaya meniti hingga ke menara gading walaupun ibubapa mereka langsung tidak boleh bertutur bahasa melayu. Kita harus mengakui bahawa Bahasa Melayu (sebelum ini disebut sebagai Bahasa Malaysia kemudan ditukar kepada Bahasa Melayu dan kini ditukar semula kepada Bahasa Malaysia) adalah bahasa yang sangat penting dalam konteks pendidikan negara namun bahasa ini boleh dipelajari di alam persekolahan nanti.

Mungkin kita merasa terlalu sukar untuk menanam semangat kecintaan kepada bahasa ibunda terutama genarasi pelapis, tapi apapun kita amat mengharapkan suatu keajaiban yang akan berpihak kepada kita suatu hari nanti. Selain itu saya menaruh harapan agar masyarakat rungus yang berpendidikan tinggi, para pemimpin masyarakat dan aktivis bahasa terus berusaha mengembling tenaga, idea dan buah fikiran untuk menyelamatkan bahasa rungus dari terus mengalami kepupusan. BAHASA JIWA BANGSA








Klik disini untuk baca seterusnya »»

Wednesday, August 26, 2009

Matunggong semakin unik

Ya..Matunggong memang unik. Bukan saja dari segi nama daerah itu sendiri yang tidak ada duanya di negeri bawah bayu ini tetapi masyarakat Matunggong juga sudah semakin unik. Sudah semakin maju. Condong kepada anjakan paradigma. Suatu waktu dulu kita tidak penah membayangkan daerah Matunggong akan melahirkan cendekiawan, tokoh politik yang disegani, usahawan berjaya, dokter perubatan, dr falsafah, jurutera malah ada masyarakat matunggong yang bergelar jutawan. Tak kiralah jutawan pelaburan internet atau skim cepat kaya atau sememangnya dianugerahkan kekayaan tapi apa yang pasti di Matunggong semuanya ada.

Tahun 60an dulu masa tu orang yang memiliki basikal pun sudah dipandang tinggi oleh masyarakat kita. Yalah masa tu mungkin kuasa beli matawang kita masih lagi tinggi dan untuk mendapatkan RM1 pun amat payah. Sebab itu walaupun harga basikal cuma RM15 ke RM30,hanya orang-orang yang berkemampuan saja berjaya memilikinya. Kita cukup teruja dan hampir tidak percaya akan kemampuan besi yang cuma mempunyai dua roda itu mampu meluncur laju tanpa masalah. Namun semuanya telah berubah mengikut peredaran masa, mengikut putaran alam.Cakap saja apa jenis kenderaan, masyarakat kita mampu memilikinya malah ada diantara masyarakat kita yang mampu memliki lebih dari sebuah kereta. Itu sudah cukup bagus, kita melangkah ke depan bukan undur ke belakang.

Masyarakat Matunggong boleh dianggap masyarakat yang pro kepada kemajuan. Time harga sawit naik mendadak, masa itu lah masyarakat kita berlumba-lumba menanam kelapa sawit. Ada yang sanggup tebang pokok kelapa dan getah untuk memberi ruang tanaman baru itu di kebun mereka. Demikian pula halnya bila tiba-tiba harga komoditi getah meningkat beberapa kali ganda. Ada orang kita yang sanggup membeli anak pokok getah liar dengan harga yang agak mahal tanpa menunggu kelulusan bantuan dari pihak Lembaga. Walaupun sebelumn ini kita amat benci akan kehadiran anak-anak pokok getah yang tanpa diundang itu tumbuh liar di laman rumah, namun taida siapa menduga anak-anak pokok getah yang dibenci selama ini mendatangkan hasil yang lumayan. Tapi hujan tidak sampai ke petang, dalam kegairahan pekebun getah memuji tindakan kerajaan menaikan harga getah, tiba-tiba harga getah menjunam. Dan kini sekali lagi masyarakat Matunggong digegarkan dengan dua jenis tanaman yang dikatakan amat menguntungkan dan menyumbang kepada pendapatan yang cukup lumayan. Pendapatan yang luar biasa. Pokok Jatropha dan Pokok Gaharu!! Pokok jatropha yang nanti akan menjadi telaga minyak tanpa perlu digali dan pokok Gaharu yang nanti akan menghasilkan 'agar wood oil' yang mempunyai nilai berpuluh ribu ringgit seliter. Lalu kita berfikir sejenak andainya semua yang kita lihat pada hari ini akan menjadi satu titik tolak kepada peningkatan ekonomi masyarakat Matunggong kelak, adakah kita akan berpuas hati? menaruh harapan yang menggunung?

Tulisan ini semata-mata untuk mengajak anda berfikir sejenak dan anggaplah tulisan ini cuma cerita ketika duduk berbual di kedai kopi jauh sekali bertujuan menyingung mana-mana pihak. Tapi apapun Matunggong memang unik...
Klik disini untuk baca seterusnya »»