Followers

Showing posts with label Dari portal Sabahkini. Show all posts
Showing posts with label Dari portal Sabahkini. Show all posts

Wednesday, April 21, 2010

NYAWA PENDUDUK TINANGOL SEMAKIN GENTING!



Saudara Pengarang,

BARU-BARU ini, ketika pergi memancing di Teluk Marudu, salah seorang kawan kami tersengat ikan sembilang dan kesan sengatan itu sangat bisa sehingga membuatkan kawan kami hampir pitam akibat sengatan ikan itu.

Maka kami pun membawanya ke Klinik Kesihatan Matunggong. Malangnya tiada Pembantu Perubatan (MA) yang ‘On Call’ kerana hari sudah malam menyebabkan kami terpaksa membawa kawan kami ke Klinik Kesihatan Tinangol.

Namun amat malang sekalu kerana tiada MA yang ‘On Call’ sehingga kami semakin cemas dalam keadaan genting dan terpaksa membawa rakan kami ke Klinik Kesihatan Sikuati.

Tetapi senarionya sama juga dengan klinik-klinik sebelum ini kerana tiada MA yang ‘On Call’. Walaupun ada juga MA yang ‘On Call’’ tapi berada di Pekan Kudat dan terpaksa menunggu lebih kurang satu jam baru kawan kami berjaya dirawat.

Persoalan sekarang kenapa tiga buah klinik kesihatan yang dikunjungi, tiada satu pun yang ada MA yang ‘On call’? Apa akan jadi sekiranya kawan kami tadi menemui maut? Siapakah yang akan bertanggungjawab? Apakah polisi Kementerian Kesihatan? Beginikah perkhidmatan kesihatan kita? Begini burukkah perkhidmatan kesihatan kita?

Selain itu, sebagai orang Kg Tinangol, kami amat kesal dan sedih dengan perkhidmatan ’On Call’ di Klinik Kesihatan Tinangol itu sendiri kerana kerap kali tiada MA yang bertugas ’On Call’.sedangkan terdapat tiga orang MA yang bertugas di Klinik Kesihatan Tinangol ketika ini.

Sepatutnya masalah ini tidak timbul kerana kami difahamkan mereka mendapat elaun tambahan untuk tugas tambahan yang mereka lakukan.

Selain itu, pemandu ambulans Tinangol kerap dilihat oleh penduduk kampung tidak berada di klinik kesihatan ketika waktu bekerja. Malah ramai yang mendakwa bahawa pemandu tersebut membawa kenderaan klinik untuk minum-minum arak, malah ada yang mendakwa termasuk ketika waktu bekerja.

Situasi ini amat membimbangkan apabila berlaku kecemasan lebih-lebih lagi kalau pemandu enggan menghantar pesakit kerana mabuk atau masih minum. Ada juga bisik-bisik yang mengatakan ada kes kecemasan yang membawa maut gara-gara tiada MA yang on call. Sebenarnya kami tidak menuntut yang lebih Cuma kami menuntut sesuatu yang sepatutnya mereka lakukan.

Sebagai orang Kg Tinangol kami ingin menyeru Pengarah Kesihatan Kudat, Pengarah Kesihatan Sabah dan Menteri Kesihatan Malaysia supaya jangan tidur sahaja. Buatlah sesuatu untuk menyiasat dan mengatasi masalah ini yang telah berlaku sekian lama.
Kami beranggapan nyawa kami sentiasa berada di hujung tanduk apabila menghadapi kecemasan kerana kita tahu kecemasan boleh berlaku bila-bila dan di mana-mana sahaja. Kita tidak mahu sehingga ada pihak yang menyaman Kementerian Kesihatan barulah mahu diambil tindakan.

Kami ingin meminta pertolongan kepada Sabahkini.net untuk membantu kami menyelesaikan masalah ini dalam kadar segera.

Salam Hormat,

ORANG TINANGOL

Sumber: Sabahkini.net 18 april 2010


Klik disini untuk baca seterusnya »»

Friday, November 6, 2009

GURU LUAR BANDAR MEWAH, PELAJAR LEMAH

Saya amat tertarik dengan satu artikel 'kepada pengarang' yang telah dihantar ke portal Sabahkini.net dari seorang yang menggelarkan dirinya ANAK MALAYSIA. Guru-guru terutama yang bertugas di luar bandar wajib membaca artikel ini. Berikut adalah artikel penuh yang telah disiarkan oleh Sabahkini.net

Saudara Pengarang,

MOHON ampun maaf kepada guru-guru prihatin dan bertanggungjawab. Rasa syukur kehadrat Allah dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional yang amat prihatin kepada penjawat awam terutama kepada guru- guru yang mendapat banyak keistimewaan terutama guru-guru di luar bandar yang diberikan elaun sara hidup sehingga ribuan ringgit, selain dari gaji dan elaun yang sepatutnya diterima, yang tidak diberi kepada penjawat awam yang lain.

Keistimewan ini amat berpatutan memandangkan amanah yang dipertanggung jawabkan untuk mendidik anak bangsa. Kita amat berterima kasih kepada guru-guru yang memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah.

Walaubagaimanapun sehingga kini masih dalam persoalan KENAPA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN DI LUAR BANDAR JAUH LEBIH RENDAH BERBANDING DI BANDAR?

Banyak persoalan timbul antaranya, Adakah pelajar luar bandar tidak minat belajar?. Adakah alat bantu belajar tidak lengkap, berbanding di bandar?.Adakah dipengaruhi oleh bangunan sekolah yang lebih indah?. Adakah guru di bandar lebih berkualiti berbanding diluar bandar?. Adakah pelajar diluar bandar otaknya kurang cerdas ?.

Banyak lagi persoalan timbul tetapi pengamatan yang dibuat melalui aduan ibu bapa dan murid sekolah, masalah ini bukan berpunca sepenuhnya dari minat, alat bantu dan bangunan, kerana semua para ibu bapa dan pelajar inginkan kejayaan.

Setiap tahun kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk kemajuan pendidikan luar bandar antaranya kerajaan memberi bantuan RMT, KWAMP, Pakaian Seragam, Alatulis, Kelas Tambahan, Makmal Komputer dan bermacam lagi.

Harus DIINGAT "Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian" tidak membezakan di bandar atau di luar bandar. Tidak dinafikan ramai pelajar luar bandar yang berjaya tetapi bilangannya amat sedikit.

Tahukah Anda? Antara sebab prestasi pelajar di luar lebih rendah berbanding di bandar kerana sikap guru di luar bandar itu sendiri iaitu :-

- Guru luar bandar tidak hadir ke sekolah sehingga berminggu-minggu.

- Guru menghabiskan masa bersembang di kantin sekolah.

-Guru mata pelajaran bukan teras tidak masuk ke kelas sehingga setahun persekolahan.

- Purata guru yang masuk ke kelas hanya dua orang sehari dan kadang kala tiada seorang pun yang masuk mengajar.

- Aktiviti ko-kurikolum diabaikan.

- Mengajar sambil lewa dan berseronok melayan SMS ketika berada di kelas

- Makmal komputer digunakan untuk bilik rehat guru dan melayar Internet tidak digunakan untuk pelajar, mempelajari penggunaan komputer.

- Guru sibuk mencari tambahan pendapatan semasa persekolahan.

Amat menyedihkan sekiranya aktiviti Ko-Korikulum dan mata pelajaran bukan teras diabaikan kerana akan menyebabkan pelajar luar bandar ketinggalan dari segi kemahiran dan pengetahuan berbanding pelajar di bandar.

Yang lebih menyedihkan sekolah-sekolah ini berhampiran dengan Pejabat Pelajaran Daerah [PPD], kenapa PIBG dan Wakil Rakyat membiarkan perkara ini? Kenapa Jabatan Pelajaran dan Kementerian membiarkan perkara ini berlaku, difahamkan ibu bapa yang membuat aduan hendaklah membuat surat kepada PPD, Ibu bapa tidak ada kemahiran menulis surat rasmi untuk membuat aduan, dikhuatiri pengadu dan anaknya akan mendapat kesan yang tidak baik dari pihak lain. Terimalah aduan ibubapa dengan cara yang lebih senang secara perjumpaan atau telefon, buat tinjauan dan siasatan.

Berjumpalah dengan ibubapa dan murid-murid sekolah bagi mengetahui perkara sebenar. Ikutlah saranan Pemimpin yang menggalakkan kita untuk turun padang. Bagi mengetahui permasalahan sebenar bagi membuat sebarang tindakan yang sewajarnya. Seringkali kita laungkan Salam 1 Malaysia Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Di mana kebenaran slogan yang kita laungkan ini?.

Wahai, para ibu bapa prihatin jangan berdiam diri, lihat, dengar dan nilailah pembelajaran anak kita di sekolah, agar mendapat pelajaran dan pengetahuan yang sewajarnya. Jangan biarkan masa depan anak bangsa kita terkorban, tampillah ke hadapan untuk mencegah perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. Jangan kerana guru itu penjawat awam, bangsa kita, kawan kita, berpengaruh dan sebagainya kita sanggup membiarkan keadaan ini berlaku.

Ingatlah! Wahai para pendidik kita diamanahkan untuk mendidik anak bangsa. Mereka ini seperti kain putih dan kitalah yang mencorakkannya. Sayangilah murid-murid kita, mereka inilah harapan Ibu Bapa, Bangsa, Agama dan Negara. Ingatlah,Kita akan dipertanggungjawabkan kepada amanah ini di hadapan Allah diakhirat kelak.

Salam Hormat Daripada,

ANAK MALAYSIA

Sumber: http://www.sabahkini.net
Klik disini untuk baca seterusnya »»