Followers

Wednesday, December 30, 2009

Transformasi Komuniti Petani

Oleh: Bogonew

Bogonewkimia ditubuhkan pada 29hb September 2007 di lot 8 pekan baru Matunggong merupakan kedai pertama yang menjual dan menyimpan bahan dan alat-alat pertanian di Matunggong. Matlamat utama penubuhan Bogonewkimia ialah menyuntik motivasi komuniti petani Matunggong supaya mereka mengkormesialkan pertanian sejajar dengan dasar yang diwujudkan oleh Pak Lah mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu "pertanian adalah perniagaan". Selain itu, menjadikan Bogonewkimia sebahagian daripada sumber keperluan komuniti petani di kawasan Matunggong selain sumber lain yang sedia ada.

Kepada masyarakat matunggong, berfikirlah secara rasional dan janganlah berpolitik semata-mata tetapi fikirkanlah bagaimana memajukan masyarakat Matunggong disamping memajukan diri sendiri. Untuk membantu memajukan orang lain, tidak semestinya kita memberi mereka secara percuma tetapi cukuplah kita memberikan mereka kemudahan. Otopot ko amu?...

Kepada penganalisis politik di kawasan Matunggong, kalau kita merujuk kepada konsep HRM (Human Resource Management), kesan daripada wakil rakyat yang silih berganti akan menimbulkan perubahan struktur organisasi, perubahan pentadbiran, pengurusan, komunikasi yang tidak baik dikalangan masyarakat, cadangan dan perancangan tidak dapat diteruskan, pembangunan tidak teratur , projek terbengkalai dan akhirnya matlamat atau objektif untuk membangunkan Matunggong tidak tercapai. Oleh itu konsep selalu menukar wakil rakyat bukan lah satu pendekatan yang terbaik. Dalam politik mungkin satu perkara yang biasa berlaku tapi kita harus memikirkan kesan negatif kepada masyarakat sebab matlamat kita adalah membangunkan masyarakat Matunggong keseluruhanya. Kadan tokou no mongitung dot mangaganti dot YB gam ogi tabangai tokou e YB kuran pamaju diti tulun tokou.

Cadangan - kalau saya mampu, saya akan membina sebuah rumah rehat di pekan Matunggong. Oleh kerana saya tidak mampu, saya bercadang kepada YB Sarapin Magana supaya berusaha membina sebuah rumah rehat di pekan Matunggong yang lengkap dengan bilik seminar selain bilik penginapan. Bilik seminar penting kerana boleh digunakan semasa mengadakan seminar atau kursus yang dianjurkan oleh kerajaan, agensi kerajaan atau swasta. Seminar atau kursus penting untuk pengetahuan, kemahiran, pendidikan, pembangunan dan motivasi kepada masyarakat Matunggong.


Klik disini untuk baca seterusnya »»

Tuesday, December 29, 2009

Penghijrahan golongan muda Sabah ke Semenanjung Malaysia dan Singapura mempengaruhi peratus undi

Semakin hari semakin ramai rakyat Sabah berhijrah ke Semenanjung Malaysia atas desakan hidup. Kekurangan peluang pekerjaan semakin lama semakin menghimpit rakyat Sabah dan sekaligus memaksa sebilangan rakyat Sabah terutama golongan muda mencari sesuap nasi dan cuba memperbaiki taraf hidup di negeri orang. Bukan saja Semenanjung Malaysia menjadi destinasi, negara jiran seperti Singapura juga turut menjadi tempat mencari rezeki yang halal.

Saban hari terpampang iklan-iklan yang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang cukup lumayan di kebanyakan dinding bangunan tumpuan awam samda di bandar-bandar besar atau di pekan-pekan kecil sekalipun di setiap daerah di negeri Sabah, yang dikendalikan oleh agen-agen syarikat yang cuba mengaut keuntungan dari aktiviti ini. Di Singapura khabarnya passport dan kad pengenalan ditahan sebagai jaminan, agar pekerja tidak dapat melarikan diri walaupun bidang pekerjaan yang diberikan oleh agen syarikat tidak bersesuaian dengan kehendak pekerja. Masalah ini sering kali dihadapi rakyat Sabah dan sudah semestinya mendatangkan pelbagai masalah susulan yang lebih teruk lagi.

Masalah seumpama ini sebenarnya bukan lah masalah baru, malah menjadi satu topik yang sering dibahaskan melalui blog atau forum yang dikendalikan oleh rakyat Sabah. Walaupun belum ada tanda-tanda masalah ini dapat diatasi atau belum ada usaha yang benar-benar telus untuk mengubah keadaan ini dari terus menjadi kebimbangan rakyat Sabah, namun rakyat Sabah masih menaruh harapan agar senario ini tidak akan berterusan sehingga ke generasi akan datang.

Selain dari masalah kebajikan, keselamatan dan sosial yang sering dihadapi oleh rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan Singapura, sebenarnya kita juga menghadapi masalah kekurangan peratus undi setiap kali pilihan raya diadakan. Di Matunggong saja entah berapa ribu rakyat Matunggong telah bekerja di sana. Ramai dalam kalangan mereka ini tentunya tidak berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih setiap kali pilihan raya diadakan. Agak mustahil ada majikan yang sanggup memberikan duit belanja pergi dan balik termasuk tambang kapal terbang untuk membolehkan mereka balik ke kawasan masing-masing dan seterusnya mengambil bahagian menentukan siapa yang benar-benar layak dinobatkan sebagai pemerintah. Perkara ini amat membimbang dan harus dipikul oleh semua pihak dengan minda yang terbuka. Mungkin kah suatu hari nanti peratus undi di setiap kawasan pilihan raya hanya didominasikan oleh golongan tua yang mudah dikotak-katikan.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Sunday, December 20, 2009

Sound Blast & Auto Show Kudat 2009 anjuran Putera Umno Kudat

Baru-baru ini pada 19hb Dec 2009, saya sempat berkunjung ke pertandingan Sound Blast & Auto Show Kudat Open 2009 yang diadakan di perkarangan Dewan Tun Mustapha Kudat. Acara tersebut yang dianjurkan oleh Putera Umno Kudat mendapat sambutan ramai terutama dari sekitar daerah Kudat namun agak mendukacitakan hujan yang hanya berhenti pada sebelah petangnya iaitu sekitar jam 2 petang membataskan kunjungan lebih ramai peminat acara itu. Di samping mendedahkan kepada masyarakat aktiviti-aktiviti yang berfaedah terutama dikalangan remaja, pihak penganjur juga mengadakan pendaftaran keahlian baru Umno.

Acara ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 19hb dan 20hb tapi saya tidak pula berpeluang untuk menyaksikan acara-acara lain yang saya kira agak menarik kerana terpaksa balik ke Kota-Kinabalu pada hari berikutnya. Saya merasakan penganjuran acara yang diadakan di kawasan terbuka tidak seharusnya diadakan pada bulan Disember memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Bagaimanapun saya sempat mengambil beberapa gambar untuk saya kongsi dengan pengunjung blog ini.




































Klik disini untuk baca seterusnya »»

Friday, December 18, 2009

2009 vs 2010

Samada rela atau tidak tahun 2009 akan meninggalkan kita. Bagi mereka yang telah berjaya melakukan sesuatu dan dirasakan pula telah berjaya terutama yang bersangkut paut dengan kehidupan, dalam aspek ekonomi keluarga, kerjaya dan sebagainya. Syabas kerana telah berjaya mencapai sesuatu yang diimpikan. Namun disebaliknya jika sesuatu perancangan itu tidak menepati sasaran, maka tahun yang mendatang ini, tahun 2010 merupakan satu lagi cabaran yang bakal dihadapi oleh semua lapisan masyarakat tak kira samada rakyat biasa atau pemimpin.

Dalam bidang politik, pada tahun 2010 ini, Adun yang diberi mandat rakyat seharusnya melipat gandakan usaha berteraskan keikhlasan dan kejujuran agar rakyat yang diwakilinya dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna lagi. Masyarakat luar bandar terutama yang tergolong sebagai penduduk miskin tegar diberi kesempatan dan peluang agar mereka dapat keluar dari belenggu kemiskinan. Perlihatkan kepada rakyat kebaikan dan keikhlasan parti, bukan leka dan asyik mengutuk parti seteru sehingga membelakangkan tanggungjawab. Hentikan amalan banyak berkokok daripada bekerja. Adun perlu menghayati apa sebenarnya tujuan menjadi wakil rakyat. Jika merasakan gelaran sebagai wakil rakyat setakat untuk mengejar kedudukan dan menambah harta keluarga, lebih baik mengambil langkah meletakan jawatan dengan segera sebelum rakyat menghukum melalui undi pada PRU13 nanti. Berikan peluang kepada orang lain jika merasakan dirinya tidak mampu membawa sesuatu perubahan kepada kawasan yang diwakilinya.

Di Sabah, rakyat di sesetengah kawasan/Dun sudah cukup bersabar. Namun kesabaran rakyat mungkin ada hadnya. Soal masalah kemiskinan, PATI dan segala macam masalah yang melanda negeri Sabah tercinta ini, mungkin satu masalah yang amat sukar untuk dihadapi. Rakyat Sabah tahu hal itu bukan mudah untuk menanganinya namun soal kemudahan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar yang lantang diperkatakan semasa PRU12 dulu masih kekal daif walaupun kerajaan silih berganti, pemimpin bertukar ganti dengan wakil rakyat yang baru, namun keadaan tetap sama. Jalan menuju ke kampung-kampung yang hanya ditabur dengan batu kelikir amat menyiksa pengguna terutama pada musim hujan. Balairaya yang dibina semasa kerajaan Berjaya tidak pernah diambil perhatian lagi selepas itu. Mesyuarat JKKKK terpaksa diadakan dirumah pengerusi JKKK atau di perkarangan rumah-rumah ibadat. Hakikatnya belum ada lagi yang harus dibanggakan.

Penduduk luar bandar bila sesekali pergi ke Kota-Kinabalu dan melihat pembangunan yang cukup rancak, Bangunan-bangunan megah dan pusat-pusat membeli belah yang serba indah acapkali mendatangkan rasa cemburu. Betapa undi penduduk luar bandar itu dirasakan cuma undi kelas kedua yang tidak mempunyai nilai tinggi dan tidak layak menerima imbuhan walaupun jauh disudut hati penduduk luar bandar turut berbangga memiliki bandaraya yang serba indah hasil usaha kerajaan selama ini.

Harus diingat semakin lama semakin ramai penduduk luar bandar menyedari hakikat ini. Kita juga sedar para pengundi luar bandar tidak lagi terikat dengan ketaksuban atau menjadi penyokong fanatik kepada sesuatu parti. Penyokong fanatik yang sanggup membakar diri umpama sebatang lilin demi kepentingan Yang Berhormat atau parti yang didokongnya. Justeru itu siapa pemimpin, parti mana yang akan menerajui sesuatu Dun mungkin tidak penting lagi. Masyarakat luar bandar sebenarnya telah ‘dididik’ untuk menjulang pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri, pemimpin yang berjiwa rakyat. Pemimpin yang meletakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadinya.

Harapan rakyat amat tinggi untuk melihat satu perubahan bukan saja di kawasan bandar bahkan kawasan luar bandar yang amat memerlukan perhatian. Rungutan dari masyarakat luar bandar saban hari kedengaran walaupun mungkin kurang mendapat perhatian dari pihak berkenaan. Apakah masyarakat luar bandar terus dibiarkan dalam keadaan ini? Kita berharap tahun 2010 ini bakal memberi sedikit perubahan dan ruang yang lebih baik kepada penduduk luar bandar agar konsep ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ menjadi kenyataan.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Monday, December 14, 2009

1Sabah, 1Matunggong

Saudara Pengarang,

Saya begitu tertarik dengan artikel yang ditulis oleh blooger bertajuk Slogan 1Malaysia di Matunggong. Bagi kita penduduk di Sabah dan di Matunggong khasnya slogan tersebut macam satu perkara yang mustahil lahir idea pemimpin atasan kerana seperti yang dinyatakan oleh saudara blogger sejak dari nenek moyang kita lagi slogan tersebut telah lama wujud.

Saya teringat cerita orang-orang tua, memang dari dulu lagi semangat 1Malaysia ini telah lama dipupuk oleh penduduk kawasan ini. Sebagai contoh, semasa hari kebesaran orang-orang Bajau yang beragama Islam, semasa Hari Raya Puasa, orang-orang yang berbangsa Rungus ini dijemput berkunjung ke rumah mereka dan sebagai membalas budi orang yang menjemput beraya maka orang-orang Rungus yang berkunjung ini pun membawalah buah tangan seperti ubi, pisang, buah-buahan dan tidak kurang juga yang membawa beras padi huma.

Pada masa sekarang ini pula majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwin dari kalangan orang Rungus yang bukan beragama Islam mendapat tetamu dari kalangan orang Bajau yang beragama Islam. Begitu juga dengan majlis-majlis keramaian orang-orang Bajau yang mendapat tetamu dari kalangan orang Rungus. Perkara-perkara seperti ini haruslah dicontohi oleh rakyat Malaysia yang masih mengamalkan sikap perkauman. Saya ingin mengambil contoh Kampung Tigaman, Radu dan Seri Aman yang penduduknya 100% kaum Bajau, kalau ada majlis seperti Hari Raya Puasa rumah-rumah mereka di kampung ini tidak putus-putus dikunjungi oleh orang-orang Rungus dari Kampung Sampir, Kirangawan, Rasak dan Teringai. Begitu juga dengan majlis keramaian seperti majlis kahwin di perkampungan orang Rungus, sudah menjadi tradisi pembekal makanan atau tukang masaknya terdiri dari orang-orang yang beragama Islam agar makanan yang dihidangkan adalah halal. Pembinaan rumah ibadat juga tidak pernah menjadi isu. Banyak kawasan atau kampung di Matunggong ini yang mana bangunan gereja didirikan bersebelahan dengan surau. Dalam soal menganut agama, ada di antara kampung-kampung di Matunggong ini yang dihuni 50-50 penduduk yang beragama Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup dalam keadaan tenteram dan harmoni. Tidak pernah timbul ada perasaan musuh memusuhi antara satu dengan yang lain.

Perkara-perkara yang telah saya sentuh di atas bukan hanya berlaku di Matunggong tetapi diamalkan oleh seluruh penduduk Sabah yang cintakan keharmonian dan perpaduan. Saya juga masih teringat kenyataan pemimpin-pemimpin peringkat pusat bahawa mereka berbangga dengan negeri Sabah dan Sarawak kerana tanpa slogan 1Malaysia sebelum ini pun mereka sudah bersatu antara kaum-kaum di kedua-dua negeri ini.

RAJA YOMOG - hafiz5456@gmail.com Klik disini untuk baca seterusnya »»

Slogan 1Malaysia di Matunggong

Mengimbau kembali sejarah politik Sabah, kadang-kadang saya tersenyum sendiri walaupun perasaan bercampur-baur antara sedih, kesal dan segala macam perasaan lagi. Saya benar-benar merasa bimbang jika parti politik berasaskan kaum semakin menjadi tren di Sabah. Rakyat Malaysia di Sabah negeri di bawah bayu ini sejak dulu telah bersatupadu tanpa batasan etnik dan anutan agama. Mungkin kita masih ingat bagaimana persefahaman antara kaum di Sabah sejak kerajaan USNO, Berjaya dan PBS memerintah negeri Sabah begitu harmoni suatu ketika dulu. Istilah pengundi bumiputera Islam, bumiputera bukan islam, Cina, India dan sebagainya masih belum digunakan untuk memisahkan rakyat Sabah kepada kelompok-kelompok tertentu hatta di zaman pemerintahan USNO sekali pun.

Di Matunggong umpamanya, persahabatan antara kaum bumiputera terjalin erat sejak sekian lama. Kaum Ubian, Bajau, Iranun dan Rungus malah kaum cina sekali pun boleh duduk semeja. Boleh berbincang apa saja topik. Bahkan terdapat segelintir kaum cina di kampung Matunggong, misalnya telah pun beranak cucu dan membesar dikalangan penduduk kampung Matunggong yang majoriti penduduknya terdiri dari suku kaum Rungus.

Saya pernah menyertai rombongan wakil rakyat PBS Matunggong ketika membuat lawatan di kampung Sebayan semasa era kegemilangan PBS dulu. Saya cukup kagum melihat betapa eratnya hubungan silaturahim antara penduduk kampung yang terdiri daripada suku kaum Rungus dan Bajau di sana. Mereka benar-benar umpama bersaudara walaupun berlainan bangsa dan pegangan agama. Jika tidak bertanya, saya mungkin tidak dapat membezakan mana satu berbangsa Bajau dan mana satu pula berbangsa Rungus, kerana kebanyakan penduduk kampung Sebayan boleh bertutur kedua-dua bahasa Bajau dan Rungus dengan fasih.

Di Sabah sebenarnya slogan 1Malaysia telah lama dipraktikan. Penduduk asal sabah tidak pernah bermusuhan. Kalaupun pernah terjadi pertumpahan darah, rakyat Sabah terpaksa berbuat demikian untuk mempertahankan kampung atau daerah masing-masing dari serangan musuh. Itu pun pernah berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sebelum undang-undang dikuatkuasakan.

Rakyat Sabah yang pernah melalui kehebatan pemimpin terdahulu, sudah pasti amat merindui keadaan ini dan harapan kita suatu hari nanti ada titik pertemuan agar keharmonian antara suku kaum di Sabah kembali pulih seperti dulu dan jurang yang memisahkan hubungan rapat antara kaum di Sabah yang umpama retak menanti belah tidak akan berpanjangan.


Klik disini untuk baca seterusnya »»

Thursday, December 10, 2009

WUJUDKAN BLOG UNTUK YB

Saudara Pengarang,

Sejak tersiarnya artikel keluaran 4 Oktober yang lepas oleh blogger Matunggongkini yang bertajuk Surat untuk YB Sarapin Magana, saya sering mencari sudah wujudkah atau belum blog yang dicadangkan oleh blooger tersebut. Dalam hal ini saya rasa tiada salahnya sekiranya saya menyokong supaya YB Sarapin Magana mewujudkan blognya sendiri untuk rakyat Matunggong mengemukakan cadangan-cadangan, masalah-masalah dan juga aduan-aduan kepada beliau. Disamping itu juga kegunaan blog ini ialah untuk beliau menyatakan sebarang bentuk jawapan kepada cadangan-cadangan atau aduan penduduk-penduduk Matunggong.

Kebanyakan rakyat Matunggong sekarang ini yang berumur 50 tahun ke bawah, 85% boleh menggunakan internet sama ada di rumah, di pejabat atau di kedai siber. Sekiranya blog yang dimaksudkan itu wujud, sudah tentu mereka ini lah golongan sasaran untuk memberikan cadangan-cadangan dan idea-idea kepada YB.

Memang tidak dinafikan bahawa blog juga merupakan senjata utama para blogger untuk menyerang peribadi seseorang tetapi di sebaliknya ada juga kebaikan. Memang wujud kebaikan dan keburukan menggunakan blog ini tetapi kalau dikira dari segi positifnya memang banyak memberi kebaikan kepada seseorang pemilik blog. Saya juga sependapat dengan Blogger Matunggongkini, saya tidak berniat untuk mengajar itik berenang tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berkongsi maklumat atau pendapat di blog yang serba canggih ini. Tahniah kepada blogger matunggong kini.

JIRAM MAJANGGIL - hafiz5456@gmail.com


Klik disini untuk baca seterusnya »»

Monday, December 7, 2009

Ebon Metol melangkah setapak dalam bidang nyanyian dengan album sulungnya

Mungkin masih ramai yang tidak mengenali Ebon Metol seorang penyayi tempatan yang baru saja merakamkan album solonya dalam bentuk VCD Karaoke. Tapi di Matunggong, nama Ebon bukan lagi baru dalam bidang nyanyian, ini kerana Ebon seringkali diundang untuk menghiburkan para tetamu samada majlis-majlis keramaian seperti pesta Kaamatan atau majlis-majlis perkahwinan. Disamping menyanyi, Ebon juga seorang pemain muzik yang berbakat. Beliau merupakan ketua kugiran miliknya sendiri.



Pertama kali mendenar lagu-lagu dalam album VCD Karaoke Ebon, saya dapat merasakan penyanyi ini boleh melangkah lebih jauh lagi dalam bidang nyanyian. Cara beliau menyampaikan sesebuah lagu begitu bersungguh-sungguh. Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini terdiri daripada lagu berbasaha rungus/dusun dan sebuah lagu melayu. Antara lagu-lagu yang mungkin menjadi hits ialah:-

1. Kau Pinggirkan Diriku – lagu dalam bahasa melayu
2. Sodu-sodu ku Mongitung
3. Magapid Tie

Lagu Kau Pinggirkan Diriku merupakan lagu berentak rock balada dan amat menyentuh perasaan jika bait-bait lirik lagu dan alunan suara Ebon yang ala-ala penyanyi kumpulan Spoon dihayati. Dalam album ini Ebon bukan saja berjaya membawakan lagu-lagu berentak Sumazau, beliau juga boleh membawa lagu-lagu berentak dangdut dengan baik. Lagu Sodu-sodu Ku Mongitung merupakan lagu berentak dangdut dan lagu ini pasti menjadi siulan bagi kaki-kaki dangdut.


Bagi pembaca yang tak sabar-sabar lagi untuk memiliki VCD Karakoe ini, saya telah upload beberapa buah lagu beserta dengan klip videonya sekali. Mungkin klip video ini kurang memuaskan tapi sekurang-kurangnya anda dapat sedikit informasi mengenai album ini. Lagi pun takut pula nanti anda tidak membeli yang original..hehe..

Klik di bawah ini untuk melihat Klip Video

http://www.youtube.com/watch?v=9QfQjWgK92I
http://www.youtube.com/watch?v=9QfQjWgK92I
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Friday, December 4, 2009

Datuk Mathius Majihi ADUN Matunggong paling cemerlang

Saudara Pengarang,

Susulan kepada kepada artikel yang ditulis oleh Hafiz Abdullah, salah seorang penulis blog Matunggong Kini, saya segera teringat kembali di zaman kegemilangan PBS suatu ketika dulu bila beliau menyebut seorang tokoh politik Matunggong (mungkin itu cuma pandangan peribadi saya) yang saya anggap seorang wakil rakyat yang cukup cemerlang dalam sejarah politik Matunggong. Tokoh yang saya maksudkan ialah mantan Adun Matunggong, Datuk Mathius Majihi.

Datuk Mathius Majihi semasa menjadi wakil rakyat Matunggong, beliau cukup terkenal dengan sikap tegas dan berani dan tidak hairanlah jika ramai yang menggelarkan diri beliau sebagai Hero Matunggong pada masa itu. Disebalik sikap tegas wakil rakyat suku Momogun Rungus pertama yang dilantik sebagai Pembantu Menteri ini, Datuk Mathius mempunyai kelebihan yang amat berlainan dengan wakil rakyat yang pernah menjadi Adun Matunggong sebelumnya. Beliau dikatakan sanggup melayan rakyat yang datang berumpa beliau di pejabat terutama mereka yang benar-benar memerlukan bantuan segera walaupun diluar masa pejabat.

Selain dari pengujudan pekan baru Matunggong yang merupakan usaha murni Datuk Mathius Majihi, mungkin masih ramai dikalangan rakyat Matunggong yang merasa terhutang budi secara peribadi atas usaha Datuk Mathius Majihi memberi sokongan sehingga ramai yang memperolehi pekerjaan tetap samada di sektor swasta dan kerajaan dan kebanyakan diantara mereka ini masih bekerja sehingga sekarang.

Sebagai manusia biasa, Datuk Mathius Majihi juga mungkin tidak terlepas dari melakukan kesilapan semasa beliau menjadi wakil rakyat Matuggong, namun jika dinilai dari aspek perkhidmatan beliau selama beliau menjadi wakil rakyat, beliau masih dianggap wakil rakyat yang paling cemerlang dan menonjol. Rakyat Matunggong seharusnya perlu mengenang jasa-jasa yang pernah beliau lakukan dan sekurang-kurangnya apa yang rakyat Matunggong bangga-banggakan sekarang terutama dengan wujudnya pekan baru Matunggong yang telah membuka minda rakyat Matunggong dalam bidang perniangaan adalah hasil usaha beliau. Kita berharap suatu hari nanti akan ada lagi wakil rakyat yang boleh melakukan lebih dari apa yang pernah dilakukan oleh YB yang pernah digelar Hero Matunggong ini.

TOMY SAIT -rayumbacci@yahoo.com
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Kemudahan infrastruktur di Matunggong mengecewakan

Oleh: HAFIZ ABDULLAH

Saya begitu tertarik dengan artikel-artikel yang diluahkan oleh pembaca blog ini. Saya juga berharap dengan wujudnya blog Matunggong Kini, para pembaca blog ini dapat menyuarakan pendapat untuk kepentingan bersama. Tidak dinafikan juga dengan luahan para pembaca atau peminat blog ini secara tidak langsung kita dapat bertukar-tukar fikiran mengenai kemajuan yang dikecapi khususnya kawasan DUN Matunggong. Kawasan DUN Matunggong yang saya kira sangat besar kawasannya mungkin sebesar Negeri Melaka di Semenanjung adalah sukar bagi seseorang ADUN untuk memajukannya dalam masa kurang 5 tahun. Faktor inilah yang menyebabkan seseorang ADUN di kawasan ini sukar menunjukkan 'kehebatan' sebagai seorang ADUN.

Kalau kita tengok sejarah lalu, Mantan ADUN N4. Matunggong, YBhg. Datuk Mathius Majihi, beliau menjadi ADUN selama 9 tahun, kita telah nampak hasilnya semasa beliau menjadi ADUN di kawasan ini. Dengan terbinanya blok kedai Pekan Baru Matunggong dan Bangunan Urusetia Kecil Matunggong kita nampak hasil atau pencapaian beliau sebagai seorang ADUN. Saya tak sebut beberapa projek pembangunan yang lain sebab tidak semua penduduk Matunggong ini yang melihatnya.

Saya begitu kagum juga dengan mantan ADUN N4 Matunggong iaitu Datuk Markus Majihi, walaupun beliau seringkali digelar 'katak' namun usaha gigih beliau merayu dengan Kerajaan Pusat begitu menyerlah dan banyak memberi manfaat kepada penduduk Matunggong khasnya. Wujudnya 1 kampung 1 industri adalah idea beliau sendiri untuk membangunkan ekonomi penduduk khasnya di Matunggong.


Klik disini untuk baca seterusnya »»

Wednesday, December 2, 2009

PKR saingan PBS di DUN Matunggong pada PRU13

Jika dilihat dari peningkatan jumlah majoriti undi yang diperolehi PBS/BN di DUN Matunggong pada PRU12 lalu berbanding PRU11, sudah pasti tidak ada yang perlu dikhuatirkan pihak PBS/BN untuk menghadapi PRU13 akan datang. Namun ini tidak bermakna PBS/BN terus leka dan tidak berbuat sesuatu untuk memantapkan lagi sokongan rakyat jika mereka ingin terus mempertahankan kerusi DUN Matunggong walaupun kawasan ini dianggap kubu kuat PBS.

Pada PRU12 yang baru lalu, DUN Matunggong menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Sarapin Magana dari PBS/BN memperolehi 6,701 undi, manakala pesaing terdekatnya Muada Ojihi memperolehi 3,719 undi. Satu jumlah undi yang cukup besar bagi seorang pemimpin muda yang tidak dikenali di Matunggong pada masa itu. Manakala Santain Monurun dari parti Bersekutu hanya memperolehi 191 undi. Keputusan ini sekaligus memperlihatkan peningkatan majoriti undi PBS/BN iaitu dari 1,274 undi yang diperolehi mantan ADUN Matunggong, Jornah Mozihim kepada 2,982 yang diperolehi Sarapin Magana.

Melihat pada senario ini sudah tentu PBS/BN berada dalam kedudukan yang selesa untuk menghadapi parti lawan pada PRU13 nanti, namun penganalisis berpendapat PBS/BN bakal menghadapi saingan yang sengit dari parti lawan terutama PKR yang semakin mendapat perhatian rakyat Matunggong khususnya pemilih baru. Walaupun dari segi statistik, majoriti undi meningkat di pihak PBS, berbanding dengan jumlah undi yang diperolehi PBS pada PRU11, namun pertambahan pengundi baru yang dijangka mampu mengimbangi jumlah daftar pemilih yang sedia ada pada pilihanraya akan datang mungkin menjadi kuasa penentu. Ramai kalangan pemilih baru ini adalah golongan yang berpendidikan dan mampu membuat keputusan sendiri.

Dalam keadaan sekarang PBS/BN seharusnya bertindak memperbaiki kelemahan yang ada. Menunaikan janji-janji pilihanraya yang belum tertunai sedaya mungkin untuk mengukuhkan sokongan rakyat. Menerima aduan masalah rakyat yang memerluakan perhatian Wakil Rakyat dengan kadar yang segera. Kalaupun masalah kadar kemiskinan tegar di kawasan Matunggong yang menjadi fokus utama tidak dapat diselesaikan dalam jangkamasa kurang dari tiga tahun sebelum PRU13, tapi sekurang-kurangnya rakyat Matunggong dapat merasakan satu bentuk perubahan yang membezakan antara PBS/BN dengan PBS/Pembangkang semasa berada diluar BN suatu ketika dulu.

Jika kawasan BN yang diwakili oleh Umno agak ketara dari segi perubahan pembangunannya, maka slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah pemangkin anjakan paradigma merangkumi setiap sudut pembangunan jika konsep ini benar-benar dilaksanakan dengan sikap ikhlas dan transperan setiap wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat dan tidak ada sebab sesebuah kawasan itu akan terpinggir dan ketinggalan dari pembangunan arus perdana.
Klik disini untuk baca seterusnya »»