Followers

Sunday, August 30, 2009

Bahasa rungus akan mengalami kepupusan??

Membaca keluhan beberapa rakan blogger yang melahirkan kebimbangan mereka mengenai 'fenomena' kepupusan bahasa ibunda dikalangan KDM dimasa akan datang, saya terpanggil untuk menulis mengenai isu ini memandangkan suku kaum rungus di Matunggong juga turut mengalami masalah yang sama. Saya percaya perkara ini bukanlah perkara baru dan telahpun dibahaskan beberapa kali samada melalui media atau bengkel yang dianjurkan oleh pencinta bahasa ibunda. Namun sejauh mana usaha ini mendatangkan kesan dan mempengaruhi minda golongan muda yang pastinya menjadi sasaran.

Menurut statistik dari sumber yang boleh dipercayai dan boleh diterima pakai, 90% dalam kalangan generasi baru yang berumur dalam lingkungan 1 hingga 28 tahun, tidak lagi mampu bertutur dalam bahasa ibunda yakni bahasa rungus dengan fasih. Kalaupun ada dikalangan genarasi baru ini boleh bertutur dalam bahasa tersebut kemungkinan besar istilah, intonasi dan sebutan tidak lagi seperti yang kita harapkan sebagai mewarisi bahasa yang kaya dengan perbendaharaan kata ini.

Untuk membuktikan dakwaan ini benar, masuk lah ke kampung-kampung di seluruh kawasan matunggong. Samada kampung tersebut terletak berdekatan pekan atau kampung yang terletak nun jauh di pedalaman. Ajaklah anak-anak muda generasi baru bertutur dalam bahasa ibunda. Jangan hairan kalau mereka nanti akan bertutur dalam bahasa melayu dengan pelat bahasa rungus.

Dalam konteks ini saya tidak berniat menyalahkan siapa-siapa. Kita sebenarnya harus memikul beban dan berani memikul tanggungjawab jika kita mahu suatu hari nanti bahasa rungus tetap kekal dan tidak akan lenyap secara perlahan-lahan di muka bumi ini. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam posting saya sebelum ini, masyarat rungus kini mampu memiliki apa saja yang kita hajati. Tidak keterlaluan kalau saya katakan masyarakat rungus pada hari ini setanding dengan bangsa lain. Duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan suku kaum lain di Sabah. Bagi saya tidak ada relevanya kita harus membiarkan bahasa rungus lenyap tanpa suatu pendekatan yang konkrit untuk membendung 'masalah' ini dari terus berlaku dan sudah tentu kita tidak sanggup melihat genarasi kita yang akan datang meratap kerana kehilangan identiti disebabkan kesilapan nenek moyang mereka. Tidak ada maknanya kita menerokai ilmu sampai ke angkasa lepas jika kita telah kehilangan identiti.

Saya amat bersyukur kerana dalam kehidupan yang serba mencabar ini, keluarga saya masih mengangkat bahasa rungus sebagai bahasa pertuturan di rumah walaupun saya dikelilingi ramai rakan-rakan dan saudara mara yang tidak lagi bertutur bahasa ibunda terutama dengan anak-anak mereka. Mungkin kerana saya terlalu mencintai bahasa ibunda sejak dulu maka saya mengambil pendekatan membiasakan anak-anak saya berbahasa rungus di rumah walaupun ada juga rakan saya yang mencadangkan agar saya membiasakan anak-anak saya berbahasa melayu sebagai persediaan menghadapi alam persekolahan nanti. Tapi bagi saya semua itu bukanlah penentu kejayaan dalam bidang akademik. Sebagai bukti ramai juga orang kita yang berjaya meniti hingga ke menara gading walaupun ibubapa mereka langsung tidak boleh bertutur bahasa melayu. Kita harus mengakui bahawa Bahasa Melayu (sebelum ini disebut sebagai Bahasa Malaysia kemudan ditukar kepada Bahasa Melayu dan kini ditukar semula kepada Bahasa Malaysia) adalah bahasa yang sangat penting dalam konteks pendidikan negara namun bahasa ini boleh dipelajari di alam persekolahan nanti.

Mungkin kita merasa terlalu sukar untuk menanam semangat kecintaan kepada bahasa ibunda terutama genarasi pelapis, tapi apapun kita amat mengharapkan suatu keajaiban yang akan berpihak kepada kita suatu hari nanti. Selain itu saya menaruh harapan agar masyarakat rungus yang berpendidikan tinggi, para pemimpin masyarakat dan aktivis bahasa terus berusaha mengembling tenaga, idea dan buah fikiran untuk menyelamatkan bahasa rungus dari terus mengalami kepupusan. BAHASA JIWA BANGSA








Post Berkaitan



Widget by [ Tips Blogger ]

0 comments:

Post a Comment