Followers

Thursday, March 3, 2011

Bersatu demi masa depan Matunggong

Lama sangat rasanya saya berehat dari membuat sebarang ulasan dan pandangan khususnya mengenai pergolakan politik. Bukan apa, sejak PRK Parlimen Batu Sapi yang telah diadakan tahun lalu saya seolah-olah kehilangan minat untuk membuat sebarang ulasan atau pandangan yang kebanyakanya saya timba dari rakan-rakan yang memang otai dalam politik atau paling tidak pun melalui pengamatan saya samada melalui media elektronik atau media alternatif. Hal-hal lain yang masih perlu saya pertimbangkan ialah kemana halatuju sokongan blog ini samada menyokong kerajaan atau menyokong pembangkang pada masa akan datang. Blog Matunggong Kini yang selama ini bersikap atas pagar, tidak berat sebelah kepada mana-mana parti mahu pun pemimpin. Mengkritik dengan cara berhemah dan membina, lalu saya terus berfikir samada konsep tersebut perlu diteruskan atau tidak dan ternyata semua itu membantutkan sebarang cubaan saya untuk menghasilkan tulisan yang berunsur politik.

Sejak saya mula menulis dalam blog ini, nama-nama pemimpin veteran Rungus seperti Datuk Mathius Majihi (DMM), Datuk George Abbah Mengimpal (DGAM) pernah saya ketengahkan yang saya anggap sebagai pemimpin Rungus yang cukup berjasa kepada rakyat Matunggong manakala nama-nama pemimpin ‘baru’ seperti mantan Wakil Rakyat Jornah Mozihim, YB Sarapin Magana, Thomas Arinjamal, Jelani Hamdan, Berman Angkap dan beberapa orang lagi turut mendapat ‘tempat’ dalam blog ini yang saya anggap mereka ini boleh meneruskan kepimpinan terdahulu. Masing-masing mempunyai latar belakang pengalaman dan tahap akademik yang saya kira mampu menjana anjakan paradigma di kawasan Matunggong walaupun mereka yang saya sebutkan di atas mendapat pelbagai kritikan dari pengunjung setia blog ini.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi (bukan demokasi) lambat laun pemilihan untuk menentukan siapa yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai meneruskan kepimpinan terdahulu pasti akan menemui titik penghujungnya nanti. Samda parti pembangkang akan menerajui tampuk pemerintahan negara atau kerajaan yang ada sekarang ini terus berkuasa akan ditentukan kelak selepas saja pengiraan kotak-kotak peti undi selesai pada PRU13 nanti. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Matunggong, samada YB Sarapin akan terus diberi mandat oleh rakyat atau disebaliknya. Dalam kem PBS, pemilihan Ketua Bahagian mungkin diadakan tidak lama lagi. Menurut sumber yang boleh dipercayai ada kalangan pemimpin muka baru dalam PBS Matunggong akan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian yang kini disandang oleh YB Sarapin Magana. Dan jika ini benar-benar berlaku, apakah YB Sarapin Magana mampu mempertahankan jawatan Ketua Bahagian itu nanti. Saya tidak berminat untuk mengulas panjang lebar mengenai hal ini. Kita tunggu dan lihat.

Apa pun yang berlaku nanti, secara peribadi saya berharap agar kita terus bersatu untuk masa depan Matunggong. Mungkin kita tidak boleh hidup dalam satu bumbung politik atau terlalu mustahil dapat menggunakan kereta dengan jenama yang sama, tapi kita mungkin boleh fikirkan bagaimana kita bersatu walaupun berlainan pandangan politik, berlainan agama dan sebagainya demi generasi anak-anak Matunggong yang akan datang.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Saturday, February 12, 2011

Pekan Sikuati dicemari sampah sarap menjijikan



Bagi mereka yang pernah berkunjung ke pekan Sikuati Kudat, mungkin pernah melihat pemandangan yang menjijikan lagi meloyakan ini. Sampah sarap yang bertaburan di atas jalanraya bagaikan tidak dipedulikan lagi oleh sesiapa. Apakah Majlis Daerah Kudat yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkan kawasan pekan ini tidak menjalankan tugas? atau sengaja membiarkan sampah sarap sebagai santapan mata yang amat menjijikan.

Pekan Sikuati yang merupakan laluan dan tempat persinggahan ramai pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Tanjung Sempang Mengayau (Tips Of Borneo) pasti melihat pemandangan yang memabukan sekalipun tidak minum todi. Diharap pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan membersihkan sampah sarap tersebut agar pekan Sikuati bebas dari pemandangan yang meloyakan.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Tuesday, January 25, 2011

PERJUANGAN MEMARTABATKAN BANGSA RUNGUS

Awal tahun 2011, warga Radio Rungus Online (RRO) dimaklumkan bahawa permohonan RRO untuk mendapatkan slot di RTM ditolak oleh pihak RTM. Jawapan itu agak mendukcitakan tetapi tidaklah mengejutkan kerana pada dasarnya kita sendiri mengakui bahawa dari pelbagai sudut, RRO masih terlalu jauh untuk menepati standrad yang ditetapkan oleh pihak RTM. Saya tidak tahu apa sebenarnya isi kandungan surat permohonan (kertas kerja) yang dikemukakan oleh pihak RRO tetapi kita dapat mengagak bahawa salah satu isi kandungan permohonan RRO adalah mendapatkan slot dalam bahawa Rungus. Dikalangan majoriti pendengar RRO sendiri pasti memberikan ‘like’bahawa penyampaian oleh para DJ RRO dalam bahasa Rungus masih terlalu jauh untuk distandradkan sebagai fasih dalam berbahasa Rungus. Fasih dalam konteks ini adalah kemampuan, ketrampilan dan kemahiran para DJ RRO untuk berkomunikasi dalam bahasa Rungus dengan lancar. Sebutan yang tepat, intonasi yang berkesan dan tanpa meminjam istilah atau perkataan dari bahasa asing (selain bahasa Rungus) .

Susulan penolakan pihak RTM itu, warga facebook RRO secara umumnya memberikan reaksi yang positif dengan melihat bahawa penolakan itu bukanlah akhir kepada usaha kita untuk mendapatkan slot bahasa Rungus di RTM. Tidak kurang juga pendapat lain yang mengutarakan bahawa sebelum mengemukakan permohonan seterusnya, pihak admin RRO hendaklah memperbaiki mutu penyiaran terutama ketika bersiaran secara langsung (on air). Penekanan diutamakan dalam soal penggunaan bahasa Rungus sebagai bahasa pengantar ketika bersiaran. Persoalannya, di mana mereka (para DJ) belajar bahasa Rungus sebagai bahasa penyiaran radio? Apa yang dilakukan oleh para DJ adalah berusaha secara peribadi untuk memperbaiki kemahiran berbahasa Rungus. Tetapi usaha peribadi ini sedikit sebanyak terhalang kerana faktor lingkungan sosial harian mereka yang kebanyakkannya bukan menggunakan bahasa Rungus sebagai bahasa pertuturan harian.

Dengan kesedaran bahawa perlunya bangsa Rungus menguasai bahasa ibunda, mengekalkan identiti bangsa melalui bahasa terutama apabila ditimbulkan isu bahawa majoriti generasi muda bangsa Rungus masa kini tidak fasih berbahasa Rungus, malah ada yang langsung tidak tahu sepatah kata bahasa ibundannya. Isu ini sangat menyedihkan dan dilihat sebagai masalah yang boleh menghilangkan bangsa Rungus di muka bumi. Sehubungan dengan itu, maka timbul cita-cita dan hasrat daripada ahli Samora khususnya daripada Presidennya, Tuan Jelani Hamdan untuk mewujudkan sekolah yang menggunakan bahasa Rungus sebagai bahasa pengantar dan bahasa pembelajaran di sekolah berkenaan. Cita-cita ini sangat murni dan mendapat sambutan yang sangat positif daripada pelbagai pihak terutama daripada kalangan ahli facebook RRO. Penubuhan sekolah Rungus ini akan diagendakan dalam mesyuarat AMT SAMORA dan sudah tentu cabaran utama untuk merealisasikan cita-cita ini adalah bagaimana menjadikan bahasa Rungus sebagai bahasa ilmu misalnya dalam bidang sains, matematik, geografi, sukan, ekonomi, sosial, perubatan dan pelbagai bidang lain? Paling kurangpun buku-buku pembelajaran prasekolah atau Tadika dalam bahasa rungus. Persoalan ini belum berakhir, sebaliknya dalam cakap-cakap para pencinta bahasa Rungus, bahasa Rungus masih tidak mempunyai huruf dan vokal yang betul-betul menepati sebuatan dalam bahasa Rungus. Ini bermakna, tulisan rumi yang kita gunakan tidak menepati sebutan dalam bahasa Rungus. Contohnya adalah perkataan ‘binatang’ (rumah panjang Rungus) dalam bahasa Rungus dan ditulis dalam tulisan rumi sebagai ‘binatang’ tidak mewakili makna dan sebutan dalam bahasa Rungus. Fikirkan.

Isu lain yang tidak kurang mendapat respon dikalangan ahli facebook berbahasa Rungus adalah penggunaan istilah Rungus dan Momogun. Ramai yang keliru dengan istilah ini. Mana yang betul, Rungus Momogun atau Momogun Rungus? Walaupun sudah sering pula diberikan penjelasan namun post-post dalam wall facebook dengan cepatnya terlempar ke belakang kerana begitu banyak sekali post-post baru oleh para ahli facebook berkenaan. Namun, dengan timbulnya isu-isu seperti ini, sisi positif yang muncul adalah semangat cintakan bangsa dan bahasa sendiri mulai tertanam dihati para ahli facebook Rungus ini. Perbezaan pendapat memang tidak dielakkan namun saya melihat bahawa para ahli facebook Rungus mulai bersatu dalam soal bahasa Rungus yang perlu dipelihara dan dipulihara. Semanga orang Rungus mula menyerlah dalam post-post mereka.

Kemuncak isu-isu seputar dunia facebook berbahasa Rungus adalah apabila RRO secara rasmi diputuskan berubah konsep kepada commercial dan berhasrat menggunakan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam penyiarannya dan bahasa Rungus sebahagiannya. Mereka kata 3 dalam 1. Tiga bahasa satu RRO. Sebagai alternatif kepada pencinta-pencinta bahasa Rungus (bukan nak kata mereka di RRO tidak mencintai bahasa Rungus) maka lahirlah Rungus FM atau singkatnya RFM yang lebih bertemakan bahasa Rungus dan radio rasmi Samora dan dilaungkan sebagai radio yang mewakili masyarakat (bangsa) Rungus. Kedua-dua radio ini bernaung di bawah panji Samora dengan konsep yang berbeza.

Tagline RRO, Avantang Tantu! Dengan jumlah members seramai 6447 ( setakat 22/1/2011) dan RFM seramai 5327 ahli. Namun hakikat yang hampir dilupakan adalah bahawa jumlah members ini tidak menggambarkan kejujuran keahlian kerana mereka di’add’ bukan secara sukarela menjadi members page group facebook bagi RRO mahupun RFM. Jika kita mengukur keahlian sebenar bagi mana-mana group dalam facebook adalah page yang memerlukan ‘like’ untuk menjadi ahli. Contohnya, Momogunology Club mempunyai keahlian yang jujur kerana seramai 1890 orang menjadi ahli secara sukarela.

Berbalik kepada keahlian dalam page RRO dan RFM, dengan jumlah ahli yang menjangkau ribuan orang ini, apakah kesemuanya aktif dalam page tersebut? Jika diperhatikan dengan saksama, kedua dua group ini hanya dikunjungi secara aktif oleh beberapa orang sahaja, rasa-rasanya antara 15-30 orang sahaja. Begitu juga pendengar radio online, sama ada RRO mahupun RFM tidaklah mencapai angka kepala lima. Kedua-dua pihak radio online ini perlu melakukan research jumlah pendengar. Banyak faktor yang menyebabkan tidak ramai pendengar radio online ini, antaranya yang saya fikir menjadi masalah utama adalah faktor connection internet.

Sedar atau tidak, kedua-dua radio online ini walaupun berpayung pada satu bumbung yang sama tetapi hakikatnya kedua-duanya penuh dengan persaingan kerana masing-masing mempunyai ahli atau pengikut yang setia.

Selagi persaingan itu adalah positif maka kesatuan bangsa Rungus (di dunia facebook) nampaknya akan berkekalan. Mari kita lihat, sertai dan menilai perkembangan kedua-dua radio online bersaudara ini.

Dalam kesempatan ini saya mengajak saudara-saudara Rungus untuk merenung atrikel sudara Jitol Magada.

Jitol Magada (http://www.facebook.com/topic.php?uid=90493711908&topic=13037)
Kepada rakan-rakan yang aktif dalam bidang akademik (ciguh-ciguh, pensyarah, pengkaji, mahasiswa dsb), kami ingin memohon jasa baik anda sekalian untuk mencetuskan satu revolusi ke arah menjadikan bahasa Rungus yang kita cintai ini sebagai satu bahasa penulisan yang canggih. Salah satu bukti kejayaan bahasa ini di dalam bidang penulisan ialah dengan penterjemahan buku Holy Bible ke dalam bahasa Rungus yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh kita sebelum ini. Ini membuktikan bahawa bahasa kita berupaya menangani pelbagai aspek linguistik yang rumit. Walau bagaimanapun, bahasa kita masih kekurangan dari segi STANDARDIZATION i.e., bahasa kita masih belum disusun aturkan secara rasmi seperti bahasa melayu. Kajian mengenai bahasa Rungus adalah amat penting untuk memartabatkan suku kaum kita yang pada masa ini terpaksa kita akui bahawa kurang dipandang tinggi oleh masyarakat 1malaysia yang lain. Kita juga tidak mahu kehilangan bahasa ibunda kita yang unik ini kerana inilah satu-satunya bahasa warisan kita. Ia merupakan identiti paling besar bagi kaum kita. Tanpa bahasa Rungus, takkan ada Suku Kaum Rungus walaupun budaya mongigol, sumundai dan lain-lain masih wujud. Sejak sekian lamanya, bahasa kita merupakan mangsa penjajahan bahasa lain. Sedangkan pada suatu ketika dahulu, bahasa kita merupakan bahasa perantaraan di antara orang laut dan orang darat di bahagian utara Sabah. Terima kasih kepada para karyawan Rungus iaitu penyanyi-penyanyi dan penggiat seni di peringkat kebangsaan yang bertungkus lumus memartabatkan suku kaum ini, tetapi perjuangan mereka masih perlukan banyak sokongan daripada orang kita. Saya terpaksa akui bahawa buat masa ini, kita langsung tidak berdaya melawan penjajahan ke atas bahasa kita ini, sedang pada waktu ini pun saya sedang menulis dan berfikir di dalam bahasa Melayu (tidak mengapa kerana kita adalah pemilik INCLUSIVE bahasa melayu, jangan sahaja kita gunakan bahasa dusun pula). Cuba fikirkan satu topik dan cuba bercakap mengenai topik tersebut dengan menggunakan 5 ayat dalam bahasa Rungus. Daripada semua ayat yang anda cakapkan tadi, kira berapa perkataan, kemudian asingkan perkataa-perkataan yang bukan berasal daripada bahasa Rungus, kira berapa jumlah perkataan asing dan bahagikan jumlahnya dengan jumlah perkataan keseluruhan kemudian darapkan dengan 100. Hasilnya akan berbeza mengikut orang, tetapi ada yang melebihi 50%. Orang tua-tua Rungus yang tidak pandai bercakap dalam bahasa kebangsaan juga banyak menggunakan perkataan yang bukan berasal daripada B.R walaupun kita ada perkataan asli untuk benda tersebut. Cth: obuli Vs kavasa. Mungkin peminjaman bahasa ini tidak menjadi satu masalah kerana memangpun kita ingin memperkayakan bahasa kita dan matlamat kita ialah untuk MEMBINA BAHASA RUNGUS STANDARD yang berupaya menangani pelbagai bidang dalam dunia moden. Tatapi yang menjadi masalah ialah dari segi kawalan perkataan yang dibawa masuk ke dalam bahasa kita. Untuk mencapai matlamat pemiawaian B.R, mungkin langkah pertama yang patut kita ambil ialah menubuhkan satu Majlis Bahasa Rungus atau Dewan Bahasa Rungus. Pertubuhan ini akan berperanan seperti DBP dalam bahasa kebangsaan. Kita orang rungus juga haruslah menuntut hak ekslusif ke atas perkataan Momogun sebagai rujukan kepada Orang Rungus, memandangkan suku kaum lain nampaknya tidak beminat untuk merujuk diri mereka sebagai orang Momogun. Marilah kita mulakan Revolusi ini. Semoga bahasa Rungus berjaya menjadi bahasa Ilmiah pada suatu hari nanti. Bahasa Tamil yang berbelit-belit pun mampu menjadi bahasa Ilmiah, kenapa bahasa kita yang mudah ini pula tidak boleh. –The Genesis of Rungusology.

Selain itu.. marilah kita melayari laman web berkaitan rungus seperti berikut :
http://rogop.blogspot.com/2009/05/rungus-bangsa-teladan.html
http://www.sunduvan.com/2009/08/perkataan-terima-kasih-dalam-bahasa.html

banyak lagi artikel-artikel berkaitan bangsa rungus yang terhimpun dalam dunia internet. Saya melakukan search di google search dan hasilnya sebanyak 61,500 artikel yang menyebut perkataan RUNGUS.

OLEH: MONGGISON
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Saturday, January 8, 2011

RRO MAJU SETAPAK LAGI DALAM DUNIA PENYIARAN




Banyak andaian telah dibuat sejauh mana langkah yang boleh dilakukan oleh Radio Rungus Online (RRO)untuk mengetengahkan masyarakat Rungus kepada dunia luar sejak kemunculan radio online berbahasa Rungus sepenuhnya di internet yang diterajui oleh Jelani Hamdan yang juga merupakan Presiden SAMORA. Melalui blog ini, RRO turut dihujani dengan pelbagai kritikan samada kritikan yang membina dan sebaliknya, namun kerana rasa tanggungjawab dan semangat kental untuk melihat kaum Rungus tidak ketinggalan dalam bidang penyiaran, tanpa menghiraukan segala kritikan yang kadang-kadang mengaitkan diri beliau dalam bidang politik, RRO yang dinaungi Jelani Hamdan melangkah setapak lagi dengan bersiaran melalui frekuensi 91.1 Mhz mulai bulan Febuari tahun ini.

RRO yang kini bernaung dibawah Konsortium Radio Online Sabah (KROS) yang diketuai sendiri oleh Jelani Hamdan telah mengadakan kerjasama dengan KKFM sebuah stesen radio komersial yang bersiaran dari konti KKFM di Universiti Malaysia Sabah (UMS). RRO akan bersiaran selama satu jam setiap hari sabtu sebagai pengisian segmen yang telah diberikan oleh KKFM kepada KROS.


Dengan adanya pengisian RRO di KKFM, usaha gigih yang telah dilakukan oleh Jelani Hamdan akan memberikan sedikit kelegaan kepada masyarakat Rungus yang telah lama dahagakan siaran berbahasa Rungus yang boleh diikuti melalui radio konvensional.
Klik disini untuk baca seterusnya »»