Followers

Wednesday, January 25, 2012

Mampu kah PBS mempertahankan DUN N.4 Maunggong pada PRU13 ini??

Mungkin masih terlalu awal untuk berteka teki siapa dan dari parti mana pemimpin yang bakal menduduki ‘takhta’ N4. Matunggong selepas PRU13 nanti. Samada dari pihak kerajaan yakni PBS yang merupakan juara bertahan sejak bertapak di Matunggong atau parti pembangkang yang terdiri dari pelbagai ‘jenama’ dan latar belakang sejarah bagaimana dan mengapa parti itu ditubuhkan. Sedar atau tidak bahang demam pilihan raya semakin terasa kehangatanya walaupun belum ada mana-mana pihak yang memberi kenyataan tarikh sebenar PRU13 diadakan. Jika melihat riak-riak ikan di sungai kita sudah tahu jantan betinanya, begitu juga lah rakyat melihat tindak tanduk kerajaan yang semakin prihatin terhadap masalah rakyat dengan memberi pelbagai insentif, wakil-wakil rakyat yang dulu duduk diam, semakin rajin membuat lawatan, dilihat sebagai petanda bahawa pilihan raya semakin menghampiri kita.

Ekoran dari itu, laman perbincangan mengenai politik yang dibangunkan melalui facebook tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Lebih mengujakan terdapat beberapa pemimpin ‘tebal muka’, pemimpin yang tahan sepak terajang turut mengambil bahagian dalam perbincangan isu-isu panas yang selalunya menjadi topik perbincangan.

Kawasan Dun N.4 Matunggong yang sejak dulu dikenali sebagai salah satu kubu kuat PBS sejak diterajui oleh Mathius Majihi (sekarang Datuk), belum pernah walau sekalipun kecundang ditangan lawan sehingga ramai yang merasa yakin bahawa siapa pun calon yang diletakan di Matunggong tanpa perlu khuatir latar belakang calon tersebut, pasti memperolehi kejayaan yang luar biasa. Apa kah PBS mampu mempertahankan piala kejuaraan sekalipun ramai yang beranggapan perjuangan PBS telah jauh terpesong dari landasan asal? Apakah jawapannya adalah terdiri dari jawapan objektif seperti berikut–

a) Kecundang ditangan parti pembangkang disebabkan calon yang kurang sesuai

b) Kecundang ditangan parti pembangkang disebabkan tiada kerjasama dari komponen Barisan Nasional seperti yang dinyatakan oleh Datuk Mathius Majihi ketika beliau keluar dari UPKO baru-baru ini.

c) Memperolehi kemenangan yang lebih besar disebabkan pemimpin pembangkang masih tidak mendapat kata sepakat sekalipun pada hari pembuangan undi.

d) Menang besar disebabkan parti pembangkang meletakan calon yang tidak dikenali iaitu pemimpin bermusim yang hanya petah berkata-kata setiap kali menjelang pilihan raya.

Mungkin kah diantara jawapan objektif di atas merupakan salah satu kemungkinan yang akan berlaku. Atau masih terdapat jawapan yang paling tepat yang akan menjadi faktor penentu samada PBS masih mampu mempertahankan pengaruhnya di Matunggong? Apa pun semua kemungkinan hanyalah andaian semata-mata. Dihujung jari pengudi lah yang akan menentukan siapa yang berhak menduduki kerusi empuk Wakil Rakyat N.4 Matunggong nanti.

Jika siri pilihan raya lalu dijadikan rujukan, perebutan calon samada di pihak pembangkang mahupun kerajaan pasti akan berulang, malah ramai berpendapat perebutan kali ini mungkin lebih sengit berbanding PRU12 lalu. Diphak kerajaan walaupun perebutan calon mungkin agak sengit namun mereka masih boleh tersenyum lebar berbanding dengan pembangkang yang agar ramai kerana mereka datang dari parti-parti pembangkang yang berlainan ideologi dan berlainan latar belakang walaupun tidak dinafikan tujuanya adalah sama iaitu ingin melihat kerajaan tumbang dan tampuk pemerintahan akan beralih tangan pada PRU13. Jika masalah ini tdak dapat diperhalusi lagi oleh parti-parti pembangkang, sudah pasti kekalahan pembangkang di Batu Sapi tidak berapa lama dulu pasti akan berulang. Mungkin satu bentuk kerjasama dan persefahaman perlu dibuat segera untuk mempastikan pembangkang di Matunggong benar-benar bersatu dan sanggup membelakangkan kepentingan peribadi. Kehadiran PKR di Matunggong sejak PRU12 lalu dilihat tidak banyak membantu, ini mungkin disebabkan timbulnya kesedaran terutama dalam kalangan ‘pengundi baru’ bahawa parti pembangkang tempatan perlu diberi keutamaan untuk mengembalikan kuasa autonomi Sabah seperti yang dicanang oleh pemimpin parti pembangkang tempatan jika mereka diberi mandat untuk memerintah.

Apa pun, cepat atau lambat, pilihan raya pasti akan berlaku juga. Kita cuma berharap siapa-siapa pun yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat N.4 Matunggong pada PRU13 ini, akan membawa satu perubahan besar tidak kira lah samda pembangkang atau PBS dan mungkin juga YB Sarapin Magana kembali dipilih sebagai pilihan nombor satu rakyat Matunggong. Sama-sama kita tunggu dan lihat. PRU13 pasti mampu merungkai persoalan kemana halatuju sokongan rakyat Matunggong smada terus menyokong kerajaan atau sebaliknya.

Aritkel saya yang berikutnya akan mengulas serba sedikit mengenai calon-calon yang kemungkinan akan bertanding pada PRU13 nanti dari perspektif orang ramai yang sempat saya temubual. Tunggu.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Wednesday, October 12, 2011

Pelancaran Telefilem Ginavoku Ginavonu. Satu perjuangan dan harapan.



Penantian berakhir sudah, Telefilem GINAVOKU GINAVONU (GKGN) yang merupakan telefilem sulung terbitan JH Production House dengan kerjasama Momogun Rungus Association (SAMORA) dan Rfm Group yang mendapat sentuhan pengarah P Dik Ganai (Bayo Pictures SDN BHD) telah pun dilancarkan dengan rasminya pada 8hb Oktober 2011 bertempat di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu. Pelancaran dan Tayangan Perdana Telefilem Rungus pertama ini telah dirasmikan oleh Presiden SAMORA sendiri Tn. Jelani Hamdan yang juga selaku Produser Eksekutif bagi telefilem tersebut.


Perasmain....ucapan perasmian oleh Presiden SAMORA Tn. Jelani Hamdan. Diperhatikan oleh Pengarah P Dik Ganai (Fdam)

Agak memberansangkan, seawal jam 5.30 petang orang ramai yang datang dari pelbagai pelusuk daerah di Sabah mula berpusu-pusu memasuki dewan walaupun acara bermula sekitar jam 7.00 malam. Lebih memberansangkan semua meja habis ditempah.


Rasmi...pukulan gong sebagai tanda perasiman..

Ketika berucap merasmikan pelancaran dan Tayangan Perdana itu, Jelani berkata, sebagai seorang peguam, tidak terlintas dalam fikirian beliau akan menjadi seorang produser filem malah beliau mengakui tidak pernah membaca skrip yang telah diberikankan oleh penulis skrip sehinggalah beliau melihat sendiri telefilem itu melalui DVD.


Antara yang hadir sabar menunggu tayangan dimulakan..

“Setelah melihat sendiri, saya amat berbangga kerana menjadi produser Telefilem GKGN. Walaupun hampir semua pelakon tidak pernah berlakon sebelum ini, namun kesungguhan mereka menguasai watak patut diberi pujian,”katanya.


Hero GKGN (Ron Langad) bergambar kenangan dengan Pengarah P Dik Ganai (Fdam)

Jelani dalam ucapanya berkata, beliau akan memberikan ruang kepada penggiat seni Rungus untuk berkarya dan mengalu-alukan penyertaan mereka dalam bidang senilakon. Beliau juga memberitahu selepas GKGN, GKGN2 dan Mr.Kantalan akan diterbitkan dalam masa terdekat ini.


Produser dan Penulis Skrip Rungus Pertama..."tunggu kemunculan GKGN2 dan Mr. Kantalan" (photo ehsan dari sdra Raymond Chong)

Pelancaran Telefilem GKGN yang mendapat liputan RTM dan media massa tempatan merupakan satu kejayaan bagi suku kaum Rungus di Sabah. Barisan pelakon yang terdiri daripada 97% suku kaum Rungus termasuk Penulis Skrip dan Produser menjadi momentum kepada anjakan paradigma yang sekaligus menafikan presepsi bahawa suku kaum Rungus di Sabah jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain dalam pelbagai bidang.


Sidang Akhbar..antara Jurkamera dan wartawan yang mengambil liputan pelancaran..

Telefilem GKGN yang berdurasi 1 jam 40 minit mendapat tepukan dan gelak ketawa daripada penonton dan tidak kurang juga penonton yang menitiskan air mata. Mungkin jalan cerita yang agak mudah difahami, GKGN tidak menghampakan penonton pada malam itu.


Pengerusi Penganjur Tn. Jose Modsinupu (turut berlakon) diapit oleh Tn Produser dan Heroin GKGN, Natalia T. Charles
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Sunday, October 2, 2011

Pasang Lensa DSLR pada iPhone

Perkembangan teknologi semakin hari semakin canggih. Dengan kepantasan teknologi yang semakin maju, sesuatu yang kita fikirkan mustahil, kini menjadi kenyataan.



Mungkin ramai yang tidak sedar atau langsung tidak tahu akan kewujudan sebuah lagi peranti yang membolehkan lensa DSLR boleh dipasang pada telefon bimbit iPhone. Anda mungkin boleh bayangkan bagaimana rupa bentuk telefon bimbit iPhone 3Gs atau iPhon4 anda bila disambungkan dengan lensa DSLR 70-200mm. Tentu menarik bukan.



Adapter yang didatangkan dengan casing aluminium yang boleh disambung dengan lensa Nikon atau Canon membolehkan pengguna memasang lensa sudut lebar, telephoto dan lensa micro. Hanya lensa jenis lama yang mempunyai aperture ring sesuai dipasang untuk membolehkan pengguna melaras aperture (f) yang dikehendaki.

Selain kehilangan 1 atau 2 f stop (mengakibatkan kecerahan kurang), imej yang ditangkap adalah terbalik disebabkan ketiadaan cermin pantulan seperti yang terdapat pada camera DSLR. Namun pengguna tidak perlu risau kerana masalah ini mudah diatasi semasa proses editing dilakukan. Bagaimanapun gambar yang dihasilkan masih tidak menyamai kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera DSLR disebabkan saiz sensor telefon bimbit agak kecil berbanding DSLR.

Bagi mereka yang inginkan kelainan pada telefon bimbit iPhone, peranti ini adalah jawapanya namun harus diingat harga adapter ini mungkin menyamai lensa Nikkor 50mm f1.4 D.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Wednesday, September 28, 2011

SIAPA JUGA CALON, PBS TETAP MENANG DI MATUNGGONG - MADJIN MAGINDA

27/09/2011

Saya sempat berkunjung ke Tindakon Dazang Beach melihat sepintas lalu perjalanan pilihanraya olok-olok yang merupakan program Khemah Kerja PBS P.168 Kota Marudu yang melibatkan peserta dari N.4 Matunggong dan N.5 Tandek. Melihat program ini segera saya terfikir mungkinkah pilihan raya sebenar iaitu PRU13 sudah semakin menghampiri kita.


PKR N.4 Matunggong (Madjin Maginda)

Menurut PKR N.4 Matunggong (bukan ‘Parti Keadilan Rakyat’) Saudara Madjin Maginda, yang sempat saya temubul, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kemahiran semua ahli yang terlibat berkaitan peraturan pilihanraya disamping mengeratkan lagi perpaduan dan hubungan kekeluargaan antara ahli-ahli parti terutama AJK Bahagian dan Cawangan. Beliau juga tidak menolak terhadap kemungkinan pilihan raya umum ke 13 akan diadakan lebih awal.


Madjin bergambar bersama Ketua Pemuda PBS Matunggong (Tiga dari Kiri)

Ditanya mengenai kemungkinan PBS Matunggong akan kecundang ditangan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang memandangkan ramai pengundi baru dikatakan lebih berminat menyokong parti pembangkang, Madjin berkata, kemungkinan itu agak tipis. PBS tetap akan memperolehi kejayaan, ini kerana katanya PBS telah menunjukan rekod cemerlang di Matunggong. Sejarah membuktikan PBS Matunggong tidak pernah kecundang sekalipun berhadapan dengan Barisan Nasional.


Pilihan raya olok-olok- petanda pilihan raya sebenar semakin hampir..

“Mungkin kita masih ingat bagaimana Datuk Markus Majihi (calon Barisan Nasional) kalah ditangan Atong Mangabis (PBS pembangkang) pada pilihan raya 1999,”

Menurut Madjin lagi, kelompok rakyat Matunggong yang memberi sokongan kepada pembangkang tidak akan berganjak dari angka statik yang tidak melebihi 4000 undi.

“Saya masih yakin pembangkang tetap memperolehi angka yang sama pada PRU13 nanti,” katanya

Menyentuh mengenai beberapa ahli PBS Matunggong yang berhasrat untuk melobi sebagai calon pada PRU13, Madjin berkata, beliau tidak ada halangan dalam hal itu. Bagaimanapun terpulang kepada pucuk pimpinan parti memilih siapa yang berkelayakan untuk bertanding.

“Siapa pun calon yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti, kalau pun YB Sarapin tidak dicalonkan lagi, saya percaya rakyat Matunggong masih tetap mengundi PBS”

Madjin yang pernah disebut-sebut bersedia bertanding sebagai calon selepas bertahan sebagai Ketua Bahagian PBS Matunggong semasa PBS dalam keadaan ‘kritikal’, menyeru ahli dan pemimpin PBS yang tidak terpilih sebagai calon nanti agar terus memperjuangkan nasib rakyat Matunggong melalui PBS.

“Kita tidak mahu senario ini berlaku terhadap parti PBS Matunggong; ketika belayar, ramai yang mengaku mahir mengendalikan kapal tetapi bila kapal layar tersebut dilanda ombak dan hampir tenggelam tidak pula ramai yang sanggup mengemudikan kapal layar tersebut,” kata Madjin mengakhiri perbualan kami…

Klik disini untuk baca seterusnya »»