Followers

Tuesday, March 2, 2010

Belia Sabah lebih baik bekerja di Sabah

Sejak kebelakangan ini setiap hari saya mengalami demam. Bila saya berjumpa dokter, dokter mengesahkan kelenjar air liur saya (submandibular gland) tersumbat dan mengalami pembengkakan sebab itu saya seringkali demam. Tiga kali saya mengambil antibiotik untuk menghilangkan bengkak namun rasa sakit pada bahagian dagu masih tetap terasa. Pembengkakan pada bahagian itu hanya susut sedikit walaupun rasanya saya sudah menelan beratus biji ubat. Menurut dokter yang merawat saya, jika penyakit tersebut masih berterusan, saya kena berjumpa dokter pakar untuk pemeriksaan lebih lanjut.

Sebagai seorang penulis blog, saya amat sedar betapa membuak-buak hati saya untuk menulis sesuatu, namun apakan daya, keadaan kesihatan saya cukup tidak mengizinkan untuk berhadapan dengan skrin komputer. Demam yang berpanjangan dan pandangan berpinar cukup membataskan aktiviti saya.

Hari ini, saya mengagahkan diri untuk melayari internet dan ternyata banyak berita-berita dan isu-isu baru yang saya tidak ikuti antaranya keputusan Datuk Kalakau Untol keluar dari Barisan Nasional dan menyertai PKR dan banyak lagi isu-isu yang berkisar di negeri Sabah. Namun saya amat tertarik dengan isu belia Sabah hidup merempat di Semenanjung Malaysia yang hangat diperkatakan melalui pelbagai media.

Penghijrahan belia Sabah ke Semenanjung Malaysia malah ke negara Singapura sebenarnya telah lama berlaku. Kesempitan hidup dan kekurangan peluang pekarjaan di negeri ini merupakan punca utama belia Sabah sanggup meninggalkan negeri Sabah bahkan ada yang sanggup meninggalkan anak isteri di kampung untuk mendapatkan sesuap nasi di negeri orang. Kes ditipu agen pekerjaan dan banyak lagi masalah yang dihadapi oleh belia Sabah di sana yang akhirnya membawa mereka hidup merempat di negeri orang dan sekaligus melencong kepada tujuan asal mereka meninggalkan negeri Sabah. Masalah ini mungkin tidak seteruk yang digembar-gemburkan yang dikatakan menjejaskan imej kerajaan negeri Sabah, namun jelas masalah ini bukan lagi khabar angin.

Portal Sabahkini.net melaporkan Pergerakan Pemuda Umno Sabah bersedia menawarkan tiket penerbangan bagi belia yang ingin kembali ke Sabah dan bekerja di Sabah. Pergerakan itu mendakwa banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor terbuka luas untuk belia Sabah menceburinya. Jika dakwaan ini benar saya berpendapat adalah lebih baik belia-belia Sabah yang bekerja di Semenanjung atau Singapura kembali ke Sabah. Saya merasakan berita ini bukan saja mengembirakan keluarga belia Sabah yang khuatir akan keselamatan anak-anak atau suami yang bekerja di sana malah belia-belia di negeri ini yang masih menganggur. Persoalanya mampukah kekosongan jawatan yang dikatakan itu menampung ribuan belia Sabah kembali dan bekerja di negeri ini?


Post Berkaitan



Widget by [ Tips Blogger ]

0 comments:

Post a Comment