Followers

Sunday, September 19, 2010

Gelaran Datuk untuk Jornah dan Atong Mangabis?





Selamat bertemu kembali. Sekali lagi blog Matunggong Kini bagaikan ‘terabai’ bila saya kekurangan waktu untuk menulis artikel atau isu baru yang boleh dikongsi dengan pembaca terutama pengunjung setia blog ini.

Beberapa bulan yang lalu saya telah menghantar proposal Sinopsis Drama kepada Astro (Astro Entertainment Sdn. Bhd) ASEB’s untuk dipertimbangkan dan baru-baru ini saya telah pun menerima email dari syarikat berkenaan yang mengatakan sinopsis/treatment yang saya hantar mendapat perhatian dan telah berjaya masuk ke pemilihan fasa kedua. Drama yang berkonsepkan etnik iaitu sebuah drama yang mengisahkan seorang pahlawan rungus akan ditayangkan dalam 13 episod bersiri (jika Drama itu nanti diterima sepenuhnya oleh pihak Astro). Dengan penerimaan itu maka saya terpaksa pula berhempas pulas untuk menyiapkan skrip drama tersebut sebelum 1 hb Oktober 2010 seperti yang dikehendaki oleh pihak Astro dan atas sebab itulah Matunggong Kini seakan terabai.

Seminggu yang lalu saya cuba juga untuk menulis serba sedikit mengenai perjalanan hidup dan karir politik Datuk George Abbah Mengimpal dari beliau bekerja sebagai ‘tukang potong kayu’ dengan seorang taukey cina sekitar tahun 1950an, kemudian beliau memulakan alam persekolahan dalam keadaan yang cukup daif, beliau dipenjarakan sehinggalah beliau dipilih sebagai ahli parlimen dan seterusnya dianugerahkan gelaran Datuk. Namun hasrat tersebut tidak dapat saya laksanakan kerana tiba-tiba negara dikejutkan dengan kejadian pembunuhan kejam Datuk Sosilawati dan tiga rakanya yang dikatakan dibunuh selepas berjumpa dengan suspek utama yang juga bergelar ‘Datuk’. Kejadian itu sedikit sebanyak menganggu tumpuan saya.

Menyentuh tentang penganugerahan gelaran ‘Datuk’, kita menyedari hanya semasa pemerintahan kerajaan Berjaya dan PBS, pemimpin dari kalangan kita berjaya mendapat gelaran itu. Datuk Markus Majihi umpamanya walaupun hanya satu penggal menjadi wakil rakyat, beliau berjaya memperolehi gelaran tersebut. Saya sering tertanya-tanya apakah tidak ada seorang pun dikalangan pemimpin kita layak menerima anugerah tersebut selepas Datuk Mathius Majihi dan Datuk Markus Majihi. Jornah Mozihim umpamanya, walaupun pencapaian beliau mungkin tidak setanding dengan Datuk Mathius Majihi semasa beliau menjadi wakil rakyat dulu namun kesetiaan beliau terhadap Barisan Nasional perlu diambil kira. Walaupun tidak dicalonkan semula, Jornah masih tetap setia bersama PBS/BN. Begitu juga dengan Atong Mangabis yang pernah meninggalkan PBS (PBS/Pembangkang) dan Menyertai PBRS/BN atas dasar setia kepada perjuangan Barisan Nasional dan saya percaya beliau bertindak demikian semata-mata kerana ingin melihat pembangunan di Matunggong. Apa kah kedua-dua pemimpin ini tidak layak menerima anugerah/gelaran Datuk sedangkan mereka merupakan pemimpin yang berjasa kepada rakyat dan BN.

Klik disini untuk baca seterusnya »»

Friday, September 3, 2010

Mengapa SAMORA?

Beberapa hari yang lalu ada orang menghubungi saya melalui telefon dan secara terang-terangan menunduh saya kononya saya menulis secara berat sebelah. “Kau tulis apa ini o, balik-balik tulis pasal Jelani Hamdan saja. Tiada bahan lain kah?” Asyik-asyik tulis pasal Samora. Perkara lain kau tidak mau tulis kah?” blog ini berkenaan dengan Matunggong, bukan blog Samora. Jangan bikin malu sama orang rungus,” kurang lebih begitulah perkataan yang keluar dari yang empunya mulut itu. Sebelum saya sempat menjawab, panggilan itu diputuskan.

Sebagai bloggers, saya sedikit pun tidak marah, terkilan atau berkecil hati terhadap kata-kata pemanggil tersebut, bagi saya beliau adalah pembaca/pengunjung setia blog Matunggong Kini yang berhak memberi teguran dan perlu dihormati. Saya akui sejak kebelakangan ini blog Matunggong Kini sering membuat ulasan dan pendedahan mengenai aktiviti Samora yang diterajui oleh Jelani Hamdan (JH).

Melalui blog ini saya ingin memberi penjelasan mengapa sejak akhir-akhir ini saya memberi ‘sedikit’ tumpuan kepada aktiviti Samora seperti yang didakwa oleh pemanggil walaupun sebenarnya ada juga isu-isu lain yang saya tulis terutama isu yang membabitkan kepimpinan YB Sarapin Magana, wakil rakyat N.4 Matunggong.

1. Saya melihat aktiviti yang dilakukan oleh Samora/Jelani Hamdan mendatangkan kebaikan bukan saja ahli Samora malah keseluruhan rakyat Matunggong dan melibatkan semua suku kaum rungus di Sabah.

2. Melihat aktiviti Samora perlu di war-warkan agar aktiviti tersebut boleh dibawa berbincang secara terbuka melalui komen-komen pengunjung blog bukan saja ahli-ahli Samora itu sendiri malah rakyat Matunggong yang berkesempatan mengunjungi blog ini tanpa perlu login/log masuk atau menjadi ahli terlebih dahulu.

3. Mendapat kebenaran dari Presiden Samora En. Jelani Hamdan (walaupun secara lisan dan tidak formal). Beliau (Jelani Hamdan) bekerjasama malah turut memberi komen-komen dan cadangan yang bernas dan membina bukan saja aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan bakal dijalankan oleh Samora malah isu-isu lain yang difikirkan penting untuk dianalisa bersama.

Saya amat sedar blog Matunggong Kini tidak banyak memberi sumbangan kepada perkembangan politik dan sosial di Matunggong tapi apa yang saya harapkan blog ini dapat memberi sedikit informasi yang bermanfaat sebagai rujukan walaupun dari segi komorsialnya masih terlalu daif berbanding dengan blog-blog lain. Apa pun saya bersyukur kerana sejak blog ini lahir pada 25 Ogos 2009 (lebih kurang setahun), blog ini telah dilawati oleh lebih kurang 27 ribu pengunjung. Dengan rasa rendah diri, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung blog ini terutama mereka yang telah memberikan cetusan minda yang pelbagai variasi samada melalui ‘surat dari pembaca’ (email) atau komen-komen yang bercorak ilmiah atau komen-komen nakal yang mengujakan yang langsung tidak pernah terlintas dalam minda saya sebelum ini.

Kepada GT, JH, Madjabou, Manampahu, Thomas Arinjamal, Raja Yomog, Amai Matunggong, Inai Matunggong, Sumandak Matunggong, Selipar Jipun, Burunguk Tindal, Pengundi Baru, Samora 1, Awang Labu, Rangab, farton Jinson, Felix MA, Yusan-usan dan ramai lagi komentator yang tidak sempat saya sebutkan disini, sekali lagi saya ucapkan terima kasih diatas sumbangan anda.

Dalam kesempatan ini juga saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang telah mendaftar sebagai followers/rakan blog ini. TANPA ANDA BLOG INI TIDAK AKAN KEMANA.

Klik disini untuk baca seterusnya »»

Monday, August 23, 2010

SAMORA - Saranan pengujudan Biro Bantuan Guaman.




Saranan untuk menubuhkan Biro Bantuan Guaman (BBG) oleh Presiden SAMORA, Ybh. Jelim Dazangap (Jelani Hamdan) untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan terutama penduduk luar bandar di Matunggong dan sekitarnya amat dialu-alukan.

Walaupun hanya merupakan cadangan awal, ramai beranggapan penubuhan BBG tersebut amat wajar jika ada badan-badan tertentu yang sanggup menggembling tenaga dan kepakaran sehingga cadangan tersebut menjadi realiti.

Jelim Dazangap juga berkata dalam laman facebooknya, SAMORA juga berhasrat untuk menubuhkan Biro Aduan Rakyat bagi menangani pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.

Saya muaturun kenyataan beliau dibawah ini sebagai renungan kita bersama.

Salam/selamat pagi. Kes senjata api di Kudat kemarin ditangguh lagi ...now, pelajaran drpd kes ini, sudah sampai masanya persatuan/badan2 NGO wujudkan 'biro bantuan guaman' sendiri. Penduduk2 di luar bandar amat perlukan nasihat guaman seperti kes tanah2 yang 'dirampas' oleh syarikat2 besar, kes hak sebagai pengguna...

Tobp. JFS, mungkin skg takda masalah tapi manala tau kalau di masa akan datang tiba2 kerajaan nak ambil mcm kes pengambilan tanah di sebelah nangka/lokoton (kes pembinaan empangan). Tiba2 projek 'muncul', penduduk kg terkejut dan tak bersedia. Sampai skg blm selesai isu pampasan , rumah dll. Kita akan wujudkan Biro Aduan Rakyat/Suara Rakyat dalam Samora nanti untuk mendengar keluhan rakyat dan mencari jalan penyelesaiannya.
Klik disini untuk baca seterusnya »»

Sunday, August 22, 2010

Tiada pembangunan di Matunggong? jangan salahkan YB Sarapin.

Sejak Mac 2008, sejak YB Sarapin menggalas tanggungjawab wakil rakyat menggantikan Jornah Mozihim sebagai Adun N.4 Matunggong, selain kelulusan projek tanaman getah berkelompok yang didakwa oleh YB Sarapin sebagai yang terluas yang pernah diluluskan oleh LIGS di Matunggong seperti yang diumumkan beliau semasa Pesta Kaamatan peringkat daerah kecil Matunggong 2010 tidak berapa lama dulu, nampaknya belum ada sebarang projek yang telah dan sedang dibuat untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat Matunggong walhal jika ditinjau, terlalu banyak perkara yang perlu diambil perhatin segera. Projek-projek kecil seperti menyelenggara perhentian bas dan sebagainya bukan lah projek yang boleh dibanggakan.


Dapatkah kita bayangkan bagaimana kanak-kanak ini membesar dalam suasana yang amat daif

Kita menyedari kawasan Dun Matunggong bukanlah sebuah kawasan kecil yang mudah dibangunkan/diselenggarakan dalam masa yang singkat namun sejak dua tahun yang lalu sekurang-kurangnya sudah terdapat bayang-bayang atau kelibat pembangunan yang telah/mula dilaksanakan untuk merealisasikan apa yang dicanangkan semasa kempen Mac 2008 dulu, jika pihak berwajib benar-benar transperan melaksanakanya. Untuk membuktikan dakwaan ini benar, masuk lah ke kampung-kampung, tanya sendiri pengerusi-pengerusi JKKK, apakah projek yang mereka telah laksanakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Bertitik tolak dari keadaan ini, ramai dikalangan kita cuba menyalahkan dan memperlekehkan YB Sarapin. Tapi jika difikirkan secara rasional rakyat Matunggong tidak sepatutnya menyalahkan YB Sarapin semata-mata, apa lagi mempertikaikan kemampuanya sebagai wakil rakyat. Kita percaya sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat, YB Sarapin tidak pernah berdiam diri atau berpeluk tubuh jauh sekali berpuas hati diatas apa yang beliau capai sehingga kini. Seperti juga halnya dengan wakil-wakil rakyat yang terdahulu, kita pasti YB Sarapin juga ingin melihat Matunggong berada pada tahap yang lebih baik berbanding keadaan sebelumnya. YB Sarapin pasti sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas dan dipikul untuk mengubah landskap Matunggong kepada satu dimensi yang lebih baik seperti kawasan-kawasan lain yang lebih menonjol dari segi pembangunan.

Kita berharap senario ini tidak akan berterusan. Kita bimbang rakyat terus merungut dan menyalahkan wakil rakyat walaupun masalah ini pada hakikatnya tidak wajar ditanggung oleh wakil rakyat itu sendirian. Jika senario ini berterusan sudah pasti wakil rakyat akan terus menjadi mangsa keadaan. Kita mengharapkan agar RMK10 ini, Matunggong akan mendapat tempias, yang sekaligus dapat melenyapkan segala permasalahan yang dihadapi oleh wakil rakyat dan rakyat Matunggong keseluruhanya

Klik disini untuk baca seterusnya »»