Samada rela atau tidak tahun 2009 akan meninggalkan kita. Bagi mereka yang telah berjaya melakukan sesuatu dan dirasakan pula telah berjaya terutama yang bersangkut paut dengan kehidupan, dalam aspek ekonomi keluarga, kerjaya dan sebagainya. Syabas kerana telah berjaya mencapai sesuatu yang diimpikan. Namun disebaliknya jika sesuatu perancangan itu tidak menepati sasaran, maka tahun yang mendatang ini, tahun 2010 merupakan satu lagi cabaran yang bakal dihadapi oleh semua lapisan masyarakat tak kira samada rakyat biasa atau pemimpin.
Dalam bidang politik, pada tahun 2010 ini, Adun yang diberi mandat rakyat seharusnya melipat gandakan usaha berteraskan keikhlasan dan kejujuran agar rakyat yang diwakilinya dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna lagi. Masyarakat luar bandar terutama yang tergolong sebagai penduduk miskin tegar diberi kesempatan dan peluang agar mereka dapat keluar dari belenggu kemiskinan. Perlihatkan kepada rakyat kebaikan dan keikhlasan parti, bukan leka dan asyik mengutuk parti seteru sehingga membelakangkan tanggungjawab. Hentikan amalan banyak berkokok daripada bekerja. Adun perlu menghayati apa sebenarnya tujuan menjadi wakil rakyat. Jika merasakan gelaran sebagai wakil rakyat setakat untuk mengejar kedudukan dan menambah harta keluarga, lebih baik mengambil langkah meletakan jawatan dengan segera sebelum rakyat menghukum melalui undi pada PRU13 nanti. Berikan peluang kepada orang lain jika merasakan dirinya tidak mampu membawa sesuatu perubahan kepada kawasan yang diwakilinya.
Di Sabah, rakyat di sesetengah kawasan/Dun sudah cukup bersabar. Namun kesabaran rakyat mungkin ada hadnya. Soal masalah kemiskinan, PATI dan segala macam masalah yang melanda negeri Sabah tercinta ini, mungkin satu masalah yang amat sukar untuk dihadapi. Rakyat Sabah tahu hal itu bukan mudah untuk menanganinya namun soal kemudahan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar yang lantang diperkatakan semasa PRU12 dulu masih kekal daif walaupun kerajaan silih berganti, pemimpin bertukar ganti dengan wakil rakyat yang baru, namun keadaan tetap sama. Jalan menuju ke kampung-kampung yang hanya ditabur dengan batu kelikir amat menyiksa pengguna terutama pada musim hujan. Balairaya yang dibina semasa kerajaan Berjaya tidak pernah diambil perhatian lagi selepas itu. Mesyuarat JKKKK terpaksa diadakan dirumah pengerusi JKKK atau di perkarangan rumah-rumah ibadat. Hakikatnya belum ada lagi yang harus dibanggakan.
Penduduk luar bandar bila sesekali pergi ke Kota-Kinabalu dan melihat pembangunan yang cukup rancak, Bangunan-bangunan megah dan pusat-pusat membeli belah yang serba indah acapkali mendatangkan rasa cemburu. Betapa undi penduduk luar bandar itu dirasakan cuma undi kelas kedua yang tidak mempunyai nilai tinggi dan tidak layak menerima imbuhan walaupun jauh disudut hati penduduk luar bandar turut berbangga memiliki bandaraya yang serba indah hasil usaha kerajaan selama ini.
Harus diingat semakin lama semakin ramai penduduk luar bandar menyedari hakikat ini. Kita juga sedar para pengundi luar bandar tidak lagi terikat dengan ketaksuban atau menjadi penyokong fanatik kepada sesuatu parti. Penyokong fanatik yang sanggup membakar diri umpama sebatang lilin demi kepentingan Yang Berhormat atau parti yang didokongnya. Justeru itu siapa pemimpin, parti mana yang akan menerajui sesuatu Dun mungkin tidak penting lagi. Masyarakat luar bandar sebenarnya telah ‘dididik’ untuk menjulang pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri, pemimpin yang berjiwa rakyat. Pemimpin yang meletakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadinya.
Harapan rakyat amat tinggi untuk melihat satu perubahan bukan saja di kawasan bandar bahkan kawasan luar bandar yang amat memerlukan perhatian. Rungutan dari masyarakat luar bandar saban hari kedengaran walaupun mungkin kurang mendapat perhatian dari pihak berkenaan. Apakah masyarakat luar bandar terus dibiarkan dalam keadaan ini? Kita berharap tahun 2010 ini bakal memberi sedikit perubahan dan ruang yang lebih baik kepada penduduk luar bandar agar konsep ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ menjadi kenyataan.
Widget by [ Tips Blogger ]
0 comments:
Post a Comment