Bogonewkimia ditubuhkan pada 29hb September 2007 di lot 8 pekan baru Matunggong merupakan kedai pertama yang menjual dan menyimpan bahan dan alat-alat pertanian di Matunggong. Matlamat utama penubuhan Bogonewkimia ialah menyuntik motivasi komuniti petani Matunggong supaya mereka mengkormesialkan pertanian sejajar dengan dasar yang diwujudkan oleh Pak Lah mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu "pertanian adalah perniagaan". Selain itu, menjadikan Bogonewkimia sebahagian daripada sumber keperluan komuniti petani di kawasan Matunggong selain sumber lain yang sedia ada.
Kepada masyarakat matunggong, berfikirlah secara rasional dan janganlah berpolitik semata-mata tetapi fikirkanlah bagaimana memajukan masyarakat Matunggong disamping memajukan diri sendiri. Untuk membantu memajukan orang lain, tidak semestinya kita memberi mereka secara percuma tetapi cukuplah kita memberikan mereka kemudahan. Otopot ko amu?...
Kepada penganalisis politik di kawasan Matunggong, kalau kita merujuk kepada konsep HRM (Human Resource Management), kesan daripada wakil rakyat yang silih berganti akan menimbulkan perubahan struktur organisasi, perubahan pentadbiran, pengurusan, komunikasi yang tidak baik dikalangan masyarakat, cadangan dan perancangan tidak dapat diteruskan, pembangunan tidak teratur , projek terbengkalai dan akhirnya matlamat atau objektif untuk membangunkan Matunggong tidak tercapai. Oleh itu konsep selalu menukar wakil rakyat bukan lah satu pendekatan yang terbaik. Dalam politik mungkin satu perkara yang biasa berlaku tapi kita harus memikirkan kesan negatif kepada masyarakat sebab matlamat kita adalah membangunkan masyarakat Matunggong keseluruhanya.Kadan tokou no mongitung dot mangaganti dot YB gam ogi tabangai tokou e YB kuran pamaju diti tulun tokou.
Cadangan - kalau saya mampu, saya akan membina sebuah rumah rehat di pekan Matunggong. Oleh kerana saya tidak mampu, saya bercadang kepada YB Sarapin Magana supaya berusaha membina sebuah rumah rehat di pekan Matunggong yang lengkap dengan bilik seminar selain bilik penginapan. Bilik seminar penting kerana boleh digunakan semasa mengadakan seminar atau kursus yang dianjurkan oleh kerajaan, agensi kerajaan atau swasta. Seminar atau kursus penting untuk pengetahuan, kemahiran, pendidikan, pembangunan dan motivasi kepada masyarakat Matunggong.
Semakin hari semakin ramai rakyat Sabah berhijrah ke Semenanjung Malaysia atas desakan hidup. Kekurangan peluang pekerjaan semakin lama semakin menghimpit rakyat Sabah dan sekaligus memaksa sebilangan rakyat Sabah terutama golongan muda mencari sesuap nasi dan cuba memperbaiki taraf hidup di negeri orang. Bukan saja Semenanjung Malaysia menjadi destinasi, negara jiran seperti Singapura juga turut menjadi tempat mencari rezeki yang halal.
Saban hari terpampang iklan-iklan yang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang cukup lumayan di kebanyakan dinding bangunan tumpuan awam samda di bandar-bandar besar atau di pekan-pekan kecil sekalipun di setiap daerah di negeri Sabah, yang dikendalikan oleh agen-agen syarikat yang cuba mengaut keuntungan dari aktiviti ini. Di Singapura khabarnya passport dan kad pengenalan ditahan sebagai jaminan, agar pekerja tidak dapat melarikan diri walaupun bidang pekerjaan yang diberikan oleh agen syarikat tidak bersesuaian dengan kehendak pekerja. Masalah ini sering kali dihadapi rakyat Sabah dan sudah semestinya mendatangkan pelbagai masalah susulan yang lebih teruk lagi.
Masalah seumpama ini sebenarnya bukan lah masalah baru, malah menjadi satu topik yang sering dibahaskan melalui blog atau forum yang dikendalikan oleh rakyat Sabah. Walaupun belum ada tanda-tanda masalah ini dapat diatasi atau belum ada usaha yang benar-benar telus untuk mengubah keadaan ini dari terus menjadi kebimbangan rakyat Sabah, namun rakyat Sabah masih menaruh harapan agar senario ini tidak akan berterusan sehingga ke generasi akan datang.
Selain dari masalah kebajikan, keselamatan dan sosial yang sering dihadapi oleh rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan Singapura, sebenarnya kita juga menghadapi masalah kekurangan peratus undi setiap kali pilihan raya diadakan. Di Matunggong saja entah berapa ribu rakyat Matunggong telah bekerja di sana. Ramai dalam kalangan mereka ini tentunya tidak berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih setiap kali pilihan raya diadakan. Agak mustahil ada majikan yang sanggup memberikan duit belanja pergi dan balik termasuk tambang kapal terbang untuk membolehkan mereka balik ke kawasan masing-masing dan seterusnya mengambil bahagian menentukan siapa yang benar-benar layak dinobatkan sebagai pemerintah. Perkara ini amat membimbang dan harus dipikul oleh semua pihak dengan minda yang terbuka. Mungkin kah suatu hari nanti peratus undi di setiap kawasan pilihan raya hanya didominasikan oleh golongan tua yang mudah dikotak-katikan.
Baru-baru ini pada 19hb Dec 2009, saya sempat berkunjung ke pertandingan Sound Blast & Auto Show Kudat Open 2009 yang diadakan di perkarangan Dewan Tun Mustapha Kudat. Acara tersebut yang dianjurkan oleh Putera Umno Kudat mendapat sambutan ramai terutama dari sekitar daerah Kudat namun agak mendukacitakan hujan yang hanya berhenti pada sebelah petangnya iaitu sekitar jam 2 petang membataskan kunjungan lebih ramai peminat acara itu. Di samping mendedahkan kepada masyarakat aktiviti-aktiviti yang berfaedah terutama dikalangan remaja, pihak penganjur juga mengadakan pendaftaran keahlian baru Umno.
Acara ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 19hb dan 20hb tapi saya tidak pula berpeluang untuk menyaksikan acara-acara lain yang saya kira agak menarik kerana terpaksa balik ke Kota-Kinabalu pada hari berikutnya. Saya merasakan penganjuran acara yang diadakan di kawasan terbuka tidak seharusnya diadakan pada bulan Disember memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Bagaimanapun saya sempat mengambil beberapa gambar untuk saya kongsi dengan pengunjung blog ini.
Samada rela atau tidak tahun 2009 akan meninggalkan kita. Bagi mereka yang telah berjaya melakukan sesuatu dan dirasakan pula telah berjaya terutama yang bersangkut paut dengan kehidupan, dalam aspek ekonomi keluarga, kerjaya dan sebagainya. Syabas kerana telah berjaya mencapai sesuatu yang diimpikan. Namun disebaliknya jika sesuatu perancangan itu tidak menepati sasaran, maka tahun yang mendatang ini, tahun 2010 merupakan satu lagi cabaran yang bakal dihadapi oleh semua lapisan masyarakat tak kira samada rakyat biasa atau pemimpin.
Dalam bidang politik, pada tahun 2010 ini, Adun yang diberi mandat rakyat seharusnya melipat gandakan usaha berteraskan keikhlasan dan kejujuran agar rakyat yang diwakilinya dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna lagi. Masyarakat luar bandar terutama yang tergolong sebagai penduduk miskin tegar diberi kesempatan dan peluang agar mereka dapat keluar dari belenggu kemiskinan. Perlihatkan kepada rakyat kebaikan dan keikhlasan parti, bukan leka dan asyik mengutuk parti seteru sehingga membelakangkan tanggungjawab. Hentikan amalan banyak berkokok daripada bekerja. Adun perlu menghayati apa sebenarnya tujuan menjadi wakil rakyat. Jika merasakan gelaran sebagai wakil rakyat setakat untuk mengejar kedudukan dan menambah harta keluarga, lebih baik mengambil langkah meletakan jawatan dengan segera sebelum rakyat menghukum melalui undi pada PRU13 nanti. Berikan peluang kepada orang lain jika merasakan dirinya tidak mampu membawa sesuatu perubahan kepada kawasan yang diwakilinya.
Di Sabah, rakyat di sesetengah kawasan/Dun sudah cukup bersabar. Namun kesabaran rakyat mungkin ada hadnya. Soal masalah kemiskinan, PATI dan segala macam masalah yang melanda negeri Sabah tercinta ini, mungkin satu masalah yang amat sukar untuk dihadapi. Rakyat Sabah tahu hal itu bukan mudah untuk menanganinya namun soal kemudahan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar yang lantang diperkatakan semasa PRU12 dulu masih kekal daif walaupun kerajaan silih berganti, pemimpin bertukar ganti dengan wakil rakyat yang baru, namun keadaan tetap sama. Jalan menuju ke kampung-kampung yang hanya ditabur dengan batu kelikir amat menyiksa pengguna terutama pada musim hujan. Balairaya yang dibina semasa kerajaan Berjaya tidak pernah diambil perhatian lagi selepas itu. Mesyuarat JKKKK terpaksa diadakan dirumah pengerusi JKKK atau di perkarangan rumah-rumah ibadat. Hakikatnya belum ada lagi yang harus dibanggakan.
Penduduk luar bandar bila sesekali pergi ke Kota-Kinabalu dan melihat pembangunan yang cukup rancak, Bangunan-bangunan megah dan pusat-pusat membeli belah yang serba indah acapkali mendatangkan rasa cemburu. Betapa undi penduduk luar bandar itu dirasakan cuma undi kelas kedua yang tidak mempunyai nilai tinggi dan tidak layak menerima imbuhan walaupun jauh disudut hati penduduk luar bandar turut berbangga memiliki bandaraya yang serba indah hasil usaha kerajaan selama ini.
Harus diingat semakin lama semakin ramai penduduk luar bandar menyedari hakikat ini. Kita juga sedar para pengundi luar bandar tidak lagi terikat dengan ketaksuban atau menjadi penyokong fanatik kepada sesuatu parti. Penyokong fanatik yang sanggup membakar diri umpama sebatang lilin demi kepentingan Yang Berhormat atau parti yang didokongnya. Justeru itu siapa pemimpin, parti mana yang akan menerajui sesuatu Dun mungkin tidak penting lagi. Masyarakat luar bandar sebenarnya telah ‘dididik’ untuk menjulang pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri, pemimpin yang berjiwa rakyat. Pemimpin yang meletakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadinya.
Harapan rakyat amat tinggi untuk melihat satu perubahan bukan saja di kawasan bandar bahkan kawasan luar bandar yang amat memerlukan perhatian. Rungutan dari masyarakat luar bandar saban hari kedengaran walaupun mungkin kurang mendapat perhatian dari pihak berkenaan. Apakah masyarakat luar bandar terus dibiarkan dalam keadaan ini? Kita berharap tahun 2010 ini bakal memberi sedikit perubahan dan ruang yang lebih baik kepada penduduk luar bandar agar konsep ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ menjadi kenyataan. Klik disini untuk baca seterusnya »»
Saya begitu tertarik dengan artikel yang ditulis oleh blooger bertajuk Slogan 1Malaysia di Matunggong. Bagi kita penduduk di Sabah dan di Matunggong khasnya slogan tersebut macam satu perkara yang mustahil lahir idea pemimpin atasan kerana seperti yang dinyatakan oleh saudara blogger sejak dari nenek moyang kita lagi slogan tersebut telah lama wujud.
Saya teringat cerita orang-orang tua, memang dari dulu lagi semangat 1Malaysia ini telah lama dipupuk oleh penduduk kawasan ini. Sebagai contoh, semasa hari kebesaran orang-orang Bajau yang beragama Islam, semasa Hari Raya Puasa, orang-orang yang berbangsa Rungus ini dijemput berkunjung ke rumah mereka dan sebagai membalas budi orang yang menjemput beraya maka orang-orang Rungus yang berkunjung ini pun membawalah buah tangan seperti ubi, pisang, buah-buahan dan tidak kurang juga yang membawa beras padi huma.
Pada masa sekarang ini pula majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwin dari kalangan orang Rungus yang bukan beragama Islam mendapat tetamu dari kalangan orang Bajau yang beragama Islam. Begitu juga dengan majlis-majlis keramaian orang-orang Bajau yang mendapat tetamu dari kalangan orang Rungus. Perkara-perkara seperti ini haruslah dicontohi oleh rakyat Malaysia yang masih mengamalkan sikap perkauman. Saya ingin mengambil contoh Kampung Tigaman, Radu dan Seri Aman yang penduduknya 100% kaum Bajau, kalau ada majlis seperti Hari Raya Puasa rumah-rumah mereka di kampung ini tidak putus-putus dikunjungi oleh orang-orang Rungus dari Kampung Sampir, Kirangawan, Rasak dan Teringai. Begitu juga dengan majlis keramaian seperti majlis kahwin di perkampungan orang Rungus, sudah menjadi tradisi pembekal makanan atau tukang masaknya terdiri dari orang-orang yang beragama Islam agar makanan yang dihidangkan adalah halal. Pembinaan rumah ibadat juga tidak pernah menjadi isu. Banyak kawasan atau kampung di Matunggong ini yang mana bangunan gereja didirikan bersebelahan dengan surau. Dalam soal menganut agama, ada di antara kampung-kampung di Matunggong ini yang dihuni 50-50 penduduk yang beragama Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup dalam keadaan tenteram dan harmoni. Tidak pernah timbul ada perasaan musuh memusuhi antara satu dengan yang lain.
Perkara-perkara yang telah saya sentuh di atas bukan hanya berlaku di Matunggong tetapi diamalkan oleh seluruh penduduk Sabah yang cintakan keharmonian dan perpaduan. Saya juga masih teringat kenyataan pemimpin-pemimpin peringkat pusat bahawa mereka berbangga dengan negeri Sabah dan Sarawak kerana tanpa slogan 1Malaysia sebelum ini pun mereka sudah bersatu antara kaum-kaum di kedua-dua negeri ini.
Mengimbau kembali sejarah politik Sabah, kadang-kadang saya tersenyum sendiri walaupun perasaan bercampur-baur antara sedih, kesal dan segala macam perasaan lagi. Saya benar-benar merasa bimbang jika parti politik berasaskan kaum semakin menjadi tren di Sabah. Rakyat Malaysia di Sabah negeri di bawah bayu ini sejak dulu telah bersatupadu tanpa batasan etnik dan anutan agama. Mungkin kita masih ingat bagaimana persefahaman antara kaum di Sabah sejak kerajaan USNO, Berjaya dan PBS memerintah negeri Sabah begitu harmoni suatu ketika dulu. Istilah pengundi bumiputera Islam, bumiputera bukan islam, Cina, India dan sebagainya masih belum digunakan untuk memisahkan rakyat Sabah kepada kelompok-kelompok tertentu hatta di zaman pemerintahan USNO sekali pun.
Di Matunggong umpamanya, persahabatan antara kaum bumiputera terjalin erat sejak sekian lama. Kaum Ubian, Bajau, Iranun dan Rungus malah kaum cina sekali pun boleh duduk semeja. Boleh berbincang apa saja topik. Bahkan terdapat segelintir kaum cina di kampung Matunggong, misalnya telah pun beranak cucu dan membesar dikalangan penduduk kampung Matunggong yang majoriti penduduknya terdiri dari suku kaum Rungus.
Saya pernah menyertai rombongan wakil rakyat PBS Matunggong ketika membuat lawatan di kampung Sebayan semasa era kegemilangan PBS dulu. Saya cukup kagum melihat betapa eratnya hubungan silaturahim antara penduduk kampung yang terdiri daripada suku kaum Rungus dan Bajau di sana. Mereka benar-benar umpama bersaudara walaupun berlainan bangsa dan pegangan agama. Jika tidak bertanya, saya mungkin tidak dapat membezakan mana satu berbangsa Bajau dan mana satu pula berbangsa Rungus, kerana kebanyakan penduduk kampung Sebayan boleh bertutur kedua-dua bahasa Bajau dan Rungus dengan fasih.
Di Sabah sebenarnya slogan 1Malaysia telah lama dipraktikan. Penduduk asal sabah tidak pernah bermusuhan. Kalaupun pernah terjadi pertumpahan darah, rakyat Sabah terpaksa berbuat demikian untuk mempertahankan kampung atau daerah masing-masing dari serangan musuh. Itu pun pernah berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sebelum undang-undang dikuatkuasakan.
Rakyat Sabah yang pernah melalui kehebatan pemimpin terdahulu, sudah pasti amat merindui keadaan ini dan harapan kita suatu hari nanti ada titik pertemuan agar keharmonian antara suku kaum di Sabah kembali pulih seperti dulu dan jurang yang memisahkan hubungan rapat antara kaum di Sabah yang umpama retak menanti belah tidak akan berpanjangan.
Sejak tersiarnya artikel keluaran 4 Oktober yang lepas oleh blogger Matunggongkini yang bertajuk Surat untuk YB Sarapin Magana, saya sering mencari sudah wujudkah atau belum blog yang dicadangkan oleh blooger tersebut. Dalam hal ini saya rasa tiada salahnya sekiranya saya menyokong supaya YB Sarapin Magana mewujudkan blognya sendiri untuk rakyat Matunggong mengemukakan cadangan-cadangan, masalah-masalah dan juga aduan-aduan kepada beliau. Disamping itu juga kegunaan blog ini ialah untuk beliau menyatakan sebarang bentuk jawapan kepada cadangan-cadangan atau aduan penduduk-penduduk Matunggong.
Kebanyakan rakyat Matunggong sekarang ini yang berumur 50 tahun ke bawah, 85% boleh menggunakan internet sama ada di rumah, di pejabat atau di kedai siber. Sekiranya blog yang dimaksudkan itu wujud, sudah tentu mereka ini lah golongan sasaran untuk memberikan cadangan-cadangan dan idea-idea kepada YB.
Memang tidak dinafikan bahawa blog juga merupakan senjata utama para blogger untuk menyerang peribadi seseorang tetapi di sebaliknya ada juga kebaikan. Memang wujud kebaikan dan keburukan menggunakan blog ini tetapi kalau dikira dari segi positifnya memang banyak memberi kebaikan kepada seseorang pemilik blog. Saya juga sependapat dengan Blogger Matunggongkini, saya tidak berniat untuk mengajar itik berenang tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berkongsi maklumat atau pendapat di blog yang serba canggih ini. Tahniah kepada blogger matunggong kini.
Mungkin masih ramai yang tidak mengenali Ebon Metol seorang penyayi tempatan yang baru saja merakamkan album solonya dalam bentuk VCD Karaoke. Tapi di Matunggong, nama Ebon bukan lagi baru dalam bidang nyanyian, ini kerana Ebon seringkali diundang untuk menghiburkan para tetamu samada majlis-majlis keramaian seperti pesta Kaamatan atau majlis-majlis perkahwinan. Disamping menyanyi, Ebon juga seorang pemain muzik yang berbakat. Beliau merupakan ketua kugiran miliknya sendiri.
Pertama kali mendenar lagu-lagu dalam album VCD Karaoke Ebon, saya dapat merasakan penyanyi ini boleh melangkah lebih jauh lagi dalam bidang nyanyian. Cara beliau menyampaikan sesebuah lagu begitu bersungguh-sungguh. Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini terdiri daripada lagu berbasaha rungus/dusun dan sebuah lagu melayu. Antara lagu-lagu yang mungkin menjadi hits ialah:- 1. Kau Pinggirkan Diriku – lagu dalam bahasa melayu 2. Sodu-sodu ku Mongitung 3. Magapid Tie Lagu Kau Pinggirkan Diriku merupakan lagu berentak rock balada dan amat menyentuh perasaan jika bait-bait lirik lagu dan alunan suara Ebon yang ala-ala penyanyi kumpulan Spoon dihayati. Dalam album ini Ebon bukan saja berjaya membawakan lagu-lagu berentak Sumazau, beliau juga boleh membawa lagu-lagu berentak dangdut dengan baik. Lagu Sodu-sodu Ku Mongitung merupakan lagu berentak dangdut dan lagu ini pasti menjadi siulan bagi kaki-kaki dangdut.
Bagi pembaca yang tak sabar-sabar lagi untuk memiliki VCD Karakoe ini, saya telah upload beberapa buah lagu beserta dengan klip videonya sekali. Mungkin klip video ini kurang memuaskan tapi sekurang-kurangnya anda dapat sedikit informasi mengenai album ini. Lagi pun takut pula nanti anda tidak membeli yang original..hehe..
Susulan kepada kepada artikel yang ditulis oleh Hafiz Abdullah, salah seorang penulis blog Matunggong Kini, saya segera teringat kembali di zaman kegemilangan PBS suatu ketika dulu bila beliau menyebut seorang tokoh politik Matunggong (mungkin itu cuma pandangan peribadi saya) yang saya anggap seorang wakil rakyat yang cukup cemerlang dalam sejarah politik Matunggong. Tokoh yang saya maksudkan ialah mantan Adun Matunggong, Datuk Mathius Majihi.
Datuk Mathius Majihi semasa menjadi wakil rakyat Matunggong, beliau cukup terkenal dengan sikap tegas dan berani dan tidak hairanlah jika ramai yang menggelarkan diri beliau sebagai Hero Matunggong pada masa itu. Disebalik sikap tegas wakil rakyat suku Momogun Rungus pertama yang dilantik sebagai Pembantu Menteri ini, Datuk Mathius mempunyai kelebihan yang amat berlainan dengan wakil rakyat yang pernah menjadi Adun Matunggong sebelumnya. Beliau dikatakan sanggup melayan rakyat yang datang berumpa beliau di pejabat terutama mereka yang benar-benar memerlukan bantuan segera walaupun diluar masa pejabat.
Selain dari pengujudan pekan baru Matunggong yang merupakan usaha murni Datuk Mathius Majihi, mungkin masih ramai dikalangan rakyat Matunggong yang merasa terhutang budi secara peribadi atas usaha Datuk Mathius Majihi memberi sokongan sehingga ramai yang memperolehi pekerjaan tetap samada di sektor swasta dan kerajaan dan kebanyakan diantara mereka ini masih bekerja sehingga sekarang.
Sebagai manusia biasa, Datuk Mathius Majihi juga mungkin tidak terlepas dari melakukan kesilapan semasa beliau menjadi wakil rakyat Matuggong, namun jika dinilai dari aspek perkhidmatan beliau selama beliau menjadi wakil rakyat, beliau masih dianggap wakil rakyat yang paling cemerlang dan menonjol. Rakyat Matunggong seharusnya perlu mengenang jasa-jasa yang pernah beliau lakukan dan sekurang-kurangnya apa yang rakyat Matunggong bangga-banggakan sekarang terutama dengan wujudnya pekan baru Matunggong yang telah membuka minda rakyat Matunggong dalam bidang perniangaan adalah hasil usaha beliau. Kita berharap suatu hari nanti akan ada lagi wakil rakyat yang boleh melakukan lebih dari apa yang pernah dilakukan oleh YB yang pernah digelar Hero Matunggong ini.
Saya begitu tertarik dengan artikel-artikel yang diluahkan oleh pembaca blog ini. Saya juga berharap dengan wujudnya blog Matunggong Kini, para pembaca blog ini dapat menyuarakan pendapat untuk kepentingan bersama. Tidak dinafikan juga dengan luahan para pembaca atau peminat blog ini secara tidak langsung kita dapat bertukar-tukar fikiran mengenai kemajuan yang dikecapi khususnya kawasan DUN Matunggong. Kawasan DUN Matunggong yang saya kira sangat besar kawasannya mungkin sebesar Negeri Melaka di Semenanjung adalah sukar bagi seseorang ADUN untuk memajukannya dalam masa kurang 5 tahun. Faktor inilah yang menyebabkan seseorang ADUN di kawasan ini sukar menunjukkan 'kehebatan' sebagai seorang ADUN.
Kalau kita tengok sejarah lalu, Mantan ADUN N4. Matunggong, YBhg. Datuk Mathius Majihi, beliau menjadi ADUN selama 9 tahun, kita telah nampak hasilnya semasa beliau menjadi ADUN di kawasan ini. Dengan terbinanya blok kedai Pekan Baru Matunggong dan Bangunan Urusetia Kecil Matunggong kita nampak hasil atau pencapaian beliau sebagai seorang ADUN. Saya tak sebut beberapa projek pembangunan yang lain sebab tidak semua penduduk Matunggong ini yang melihatnya.
Saya begitu kagum juga dengan mantan ADUN N4 Matunggong iaitu Datuk Markus Majihi, walaupun beliau seringkali digelar 'katak' namun usaha gigih beliau merayu dengan Kerajaan Pusat begitu menyerlah dan banyak memberi manfaat kepada penduduk Matunggong khasnya. Wujudnya 1 kampung 1 industri adalah idea beliau sendiri untuk membangunkan ekonomi penduduk khasnya di Matunggong.
Jika dilihat dari peningkatan jumlah majoriti undi yang diperolehi PBS/BN di DUN Matunggong pada PRU12 lalu berbanding PRU11, sudah pasti tidak ada yang perlu dikhuatirkan pihak PBS/BN untuk menghadapi PRU13 akan datang. Namun ini tidak bermakna PBS/BN terus leka dan tidak berbuat sesuatu untuk memantapkan lagi sokongan rakyat jika mereka ingin terus mempertahankan kerusi DUN Matunggong walaupun kawasan ini dianggap kubu kuat PBS.
Pada PRU12 yang baru lalu, DUN Matunggong menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Sarapin Magana dari PBS/BN memperolehi 6,701 undi, manakala pesaing terdekatnya Muada Ojihi memperolehi 3,719 undi. Satu jumlah undi yang cukup besar bagi seorang pemimpin muda yang tidak dikenali di Matunggong pada masa itu. Manakala Santain Monurun dari parti Bersekutu hanya memperolehi 191 undi. Keputusan ini sekaligus memperlihatkan peningkatan majoriti undi PBS/BN iaitu dari 1,274 undi yang diperolehi mantan ADUN Matunggong, Jornah Mozihim kepada 2,982 yang diperolehi Sarapin Magana.
Melihat pada senario ini sudah tentu PBS/BN berada dalam kedudukan yang selesa untuk menghadapi parti lawan pada PRU13 nanti, namun penganalisis berpendapat PBS/BN bakal menghadapi saingan yang sengit dari parti lawan terutama PKR yang semakin mendapat perhatian rakyat Matunggong khususnya pemilih baru. Walaupun dari segi statistik, majoriti undi meningkat di pihak PBS, berbanding dengan jumlah undi yang diperolehi PBS pada PRU11, namun pertambahan pengundi baru yang dijangka mampu mengimbangi jumlah daftar pemilih yang sedia ada pada pilihanraya akan datang mungkin menjadi kuasa penentu. Ramai kalangan pemilih baru ini adalah golongan yang berpendidikan dan mampu membuat keputusan sendiri.
Dalam keadaan sekarang PBS/BN seharusnya bertindak memperbaiki kelemahan yang ada. Menunaikan janji-janji pilihanraya yang belum tertunai sedaya mungkin untuk mengukuhkan sokongan rakyat. Menerima aduan masalah rakyat yang memerluakan perhatian Wakil Rakyat dengan kadar yang segera. Kalaupun masalah kadar kemiskinan tegar di kawasan Matunggong yang menjadi fokus utama tidak dapat diselesaikan dalam jangkamasa kurang dari tiga tahun sebelum PRU13, tapi sekurang-kurangnya rakyat Matunggong dapat merasakan satu bentuk perubahan yang membezakan antara PBS/BN dengan PBS/Pembangkang semasa berada diluar BN suatu ketika dulu.
Jika kawasan BN yang diwakili oleh Umno agak ketara dari segi perubahan pembangunannya, maka slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah pemangkin anjakan paradigma merangkumi setiap sudut pembangunan jika konsep ini benar-benar dilaksanakan dengan sikap ikhlas dan transperan setiap wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat dan tidak ada sebab sesebuah kawasan itu akan terpinggir dan ketinggalan dari pembangunan arus perdana.
Semasa Hariraya Aidil Adha baru-baru ini saya sempat melihat dari jauh rakan-rakan dan saudara mara saya yang beragama islam melakukan penyembelihan binatang korban berdekatan Surau Kampung Minyak dalam daerah Kudat. Walaupun penganut agama islam di kampung ini agak sedikit namun susana meriah amat menyerlah dikalangan mereka.
Apa yang menarik perhatian saya ialah surau tersebut sudah terlalu ujur. Atap zing yang sudah di makan karat mengakibatkan atap zing bocor dan ini mendatangkan ketidak selesaan beribadah semasa hujan. Selain itu sebahagian lantai surau ini turut berlubang akibat dimakan anai-anai.
Pengerusi surau Kampung Minyak, Zainal Dulang merayu kepada pihak yang berwajib agar segera berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini. “Lihat lah sendiri surau ini, jangankan atap dan lantai, lambang bulan sabit dan bintang yang sepatutnya terpacak di atas bumbung pun sudah patah akibat dimakan karat,” katanya. Jika surau ini dilihat dari jarak jauh pasti tidak ada yang menyangka bahawa bangunan ini adalah surau disebabkan ciri-ciri sebagai sebuah surau tidak kelihatan lagi.
Ketika duduk minum di kedai kopi pekan Sikuati, bisik-bisik mengenai pilihan raya yang akan datang mula kedengaran. Walaupun PRU13 masih jauh, namun sudah ada segelintir masyarakat kita di Matunggong telah mula membicarakan topik pilihanraya. Ini mungkin terdorong oleh khabar yang bertiup kencang Dr. Jeffery telah pun menghantar permohonan kepada ROS untuk mendaftarkan parti barunya.
Mesyuarat di kedai kopi yang tidak mempunyai agenda itu turut menyebut beberapa nama pemimpin politik Matunggong yang mungkin akan bertanding pada PRU13 nanti. Dari perbualan mereka, saya sempat mendengar seorang dua yang duduk di sebelah meja saya menyebut nama Jornah Mozihim, bekas Adun Matunggong yang digugurkan dari senarai calon disaat akhir sehari sebelum penamaan calon pada PRU12 lalu.
Apa yang menarik perhatian saya, pengaruh mantan wakil rakyat Matunggong ini masih kuat. Masih mempunyai ramai penyokong walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat. Ternyata usaha Jornah Mozihim untuk cuba membawa perubahan kepada Matuggong dihargai oleh rakyat Matunggong. Penubuhan Koperasi Matunggong Berhad (KMB) merupakan antara usaha Jornah Mozihim kearah mewujudkan sumber ekonomi rakyat matunggong yang sebilangan besar penduduknya bergantung kepada sektor pertanian sebagai punca pendapatan utama.
Ada juga suara-suara nakal yang mahukan Jornah Mozihim dicalonkan semula pada PRU13 nanti bagi membolehkan beliau meneruskan agenda yang telah dirancang sebelum beliau digugurkan dari bertanding jika kesilapan dimasa lalu iaitu melantik adiknya sendiri sebagai PKR tidak akan berulang lagi.
Saya dapat mengambil kesimpulan walaupun perbualan itu cuma cakap-cakap kosong di kedai kopi, namun apa yang jelas rakyat Matunggong benar-benar mengkehendakan seorang pemimpin yang mempunyai misi dan visi untuk membawa matunggong keluar dari kepompong kemiskinan.
Mungkin masih ramai yang belum tahu bagaimana memasang email form pada blog mereka terutama blogger yang baru saja membuka akaun blog. Email form sebenarnya digunakan untuk berhubung atau menghantar sebarang pertanyaan yang mungkin berkisar tentang posting yang dihanatar oleh penulis blog berkenaan namun posting tersebut mungkin kurang jelas dan memerlukan penjelasan dari penulis. Fungsi email form ini sebenarnya bertujuan untuk memudahkan penghantaran email kepada pemilik blog tanpa perlu membuka email mereka terlebih dahulu dan pemilik blog juga boleh menerima email dari pembaca tanpa mendedahkan alamat email mereka.
Untuk tujuan ini anda perlu berkunjung ke laman ini terlebih dahulu. http://www.emailform.com jika sudah, ikuti langkah berikut.. 1. Klik tulisan signup for free. Paparan berupa borang akan dipaparkan. 2. First Name - Tulis nama anda 3. Last Name - Tulis nama bapa/keluarga anda 4. Password - Isi kata laluan yang anda fikir sesuai 5. Retype password - Tulis semula kata laluan anda 6. Your Email - Isi dengan alamat email anda 7. Klik butang sign up
Setelah itu sila periksa email anda untuk verifikasi. Buka email yang baru dihantar ke email anda 'your new account information', setelah dibuka klik link tersebut bagi mengesahkan email yang anda masukan pada borang tadi adalah milik anda.
8. Setelah selesai proses verifikasi, tekan tombol click here 9. Klik 'create new form' yang berada di ruang sebelah kanan sekali 10.Web form name - Isi dengan nama web anda atau abaikan saja 11.Recipients Emails - Tulis alamat email anda 12.Spam Email Address - Tulis alamat email lain untuk menerima email sampah/spam jika ada. 13.Thank you page - Tulis alamat URL anda 14.Number of fields - abaikan saja 15.Klik tombol next
Anda boleh menukar Name kepada Nama,Your email kepada Email anda dan sebagainya jika anda mahu atau teruskan mengklik tombol next dan seterusnya tombol Finish.
16.Klik Get The HTML Codes 17.Copy kod HTML tersebut dan paste kan ke widget HTML/Javascript pada layout Blog anda.
Saya amat tertarik dengan satu artikel 'kepada pengarang' yang telah dihantar ke portal Sabahkini.net dari seorang yang menggelarkan dirinya ANAK MALAYSIA. Guru-guru terutama yang bertugas di luar bandar wajib membaca artikel ini. Berikut adalah artikel penuh yang telah disiarkan oleh Sabahkini.net
Saudara Pengarang,
MOHON ampun maaf kepada guru-guru prihatin dan bertanggungjawab. Rasa syukur kehadrat Allah dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional yang amat prihatin kepada penjawat awam terutama kepada guru- guru yang mendapat banyak keistimewaan terutama guru-guru di luar bandar yang diberikan elaun sara hidup sehingga ribuan ringgit, selain dari gaji dan elaun yang sepatutnya diterima, yang tidak diberi kepada penjawat awam yang lain.
Keistimewan ini amat berpatutan memandangkan amanah yang dipertanggung jawabkan untuk mendidik anak bangsa. Kita amat berterima kasih kepada guru-guru yang memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah.
Walaubagaimanapun sehingga kini masih dalam persoalan KENAPA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN DI LUAR BANDAR JAUH LEBIH RENDAH BERBANDING DI BANDAR?
Banyak persoalan timbul antaranya, Adakah pelajar luar bandar tidak minat belajar?. Adakah alat bantu belajar tidak lengkap, berbanding di bandar?.Adakah dipengaruhi oleh bangunan sekolah yang lebih indah?. Adakah guru di bandar lebih berkualiti berbanding diluar bandar?. Adakah pelajar diluar bandar otaknya kurang cerdas ?.
Banyak lagi persoalan timbul tetapi pengamatan yang dibuat melalui aduan ibu bapa dan murid sekolah, masalah ini bukan berpunca sepenuhnya dari minat, alat bantu dan bangunan, kerana semua para ibu bapa dan pelajar inginkan kejayaan.
Setiap tahun kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk kemajuan pendidikan luar bandar antaranya kerajaan memberi bantuan RMT, KWAMP, Pakaian Seragam, Alatulis, Kelas Tambahan, Makmal Komputer dan bermacam lagi.
Harus DIINGAT "Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian" tidak membezakan di bandar atau di luar bandar. Tidak dinafikan ramai pelajar luar bandar yang berjaya tetapi bilangannya amat sedikit.
Tahukah Anda? Antara sebab prestasi pelajar di luar lebih rendah berbanding di bandar kerana sikap guru di luar bandar itu sendiri iaitu :-
- Guru luar bandar tidak hadir ke sekolah sehingga berminggu-minggu.
- Guru menghabiskan masa bersembang di kantin sekolah.
-Guru mata pelajaran bukan teras tidak masuk ke kelas sehingga setahun persekolahan.
- Purata guru yang masuk ke kelas hanya dua orang sehari dan kadang kala tiada seorang pun yang masuk mengajar.
- Aktiviti ko-kurikolum diabaikan.
- Mengajar sambil lewa dan berseronok melayan SMS ketika berada di kelas
- Makmal komputer digunakan untuk bilik rehat guru dan melayar Internet tidak digunakan untuk pelajar, mempelajari penggunaan komputer.
- Guru sibuk mencari tambahan pendapatan semasa persekolahan.
Amat menyedihkan sekiranya aktiviti Ko-Korikulum dan mata pelajaran bukan teras diabaikan kerana akan menyebabkan pelajar luar bandar ketinggalan dari segi kemahiran dan pengetahuan berbanding pelajar di bandar.
Yang lebih menyedihkan sekolah-sekolah ini berhampiran dengan Pejabat Pelajaran Daerah [PPD], kenapa PIBG dan Wakil Rakyat membiarkan perkara ini? Kenapa Jabatan Pelajaran dan Kementerian membiarkan perkara ini berlaku, difahamkan ibu bapa yang membuat aduan hendaklah membuat surat kepada PPD, Ibu bapa tidak ada kemahiran menulis surat rasmi untuk membuat aduan, dikhuatiri pengadu dan anaknya akan mendapat kesan yang tidak baik dari pihak lain. Terimalah aduan ibubapa dengan cara yang lebih senang secara perjumpaan atau telefon, buat tinjauan dan siasatan.
Berjumpalah dengan ibubapa dan murid-murid sekolah bagi mengetahui perkara sebenar. Ikutlah saranan Pemimpin yang menggalakkan kita untuk turun padang. Bagi mengetahui permasalahan sebenar bagi membuat sebarang tindakan yang sewajarnya. Seringkali kita laungkan Salam 1 Malaysia Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Di mana kebenaran slogan yang kita laungkan ini?.
Wahai, para ibu bapa prihatin jangan berdiam diri, lihat, dengar dan nilailah pembelajaran anak kita di sekolah, agar mendapat pelajaran dan pengetahuan yang sewajarnya. Jangan biarkan masa depan anak bangsa kita terkorban, tampillah ke hadapan untuk mencegah perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. Jangan kerana guru itu penjawat awam, bangsa kita, kawan kita, berpengaruh dan sebagainya kita sanggup membiarkan keadaan ini berlaku.
Ingatlah! Wahai para pendidik kita diamanahkan untuk mendidik anak bangsa. Mereka ini seperti kain putih dan kitalah yang mencorakkannya. Sayangilah murid-murid kita, mereka inilah harapan Ibu Bapa, Bangsa, Agama dan Negara. Ingatlah,Kita akan dipertanggungjawabkan kepada amanah ini di hadapan Allah diakhirat kelak.
Mungkin ada diantara anda yang sudah pun pernah melihat photo ini. Saya sebenarnya cuma ingin berkongsi photo ini dengan rakan-rakan yang mungkin belum pernah melihat photo ini dimana-mana. Sebenarnya gambar ini dihantar oleh seorang kawan melalui MMS setahun lalu. Saya tidak pasti pula dari mana photo ini diambil, cuma yang jelas jika diperhatikan betul-betul, objek dalam gambar ini adalah awan yang menyerupai tangan. Diharap ada pembaca yang boleh mengesahkan kejadian ini...
Klik disini untuk baca seterusnya »»
Jika anda berkunjung ke daerah Kudat, selain dari tarikan pantai yang indah seperti Tanjung Sempang Mengayau yang cukup terkenal dengan jolokan Tips of Borneo anda juga boleh berkunjung ke Gerai Medan Selera di Bandar Kudat untuk melepaskan lelah sambil menikmanti berbagai juadah makanan yang menyelerakan. Pelbagi kueh mueh, lauk pauk dan minuman jus segar dijual di gerai ini dengan harga yang cukup berpatutan. Uniknya di gerai medan selera ini anda boleh juga membeli sayur-sayuran segar, daging ayam, buah-buahan tempatan dan pelbagai makanan yang jarang terdapat di tempat lain.
Beginilah keadaan Gerai Medan Selera setelah dinaiktaraf lengkap dengan tempat duduk dan meja pasang siap untuk kemudahan para pengunjung.
Gerai Medan Selera yang telah siap dinaiktaraf atas sumbangan Kerajaan Persekutuan ini beberapa bulan lalu, sedikit sebanyak telah mengubah penampilan gerai ini yang sebelumnya hanya berbumbungkan lagit. Kesulitan akan dihadapi oleh pengunjung atau peniaga bila musim hujan. Kini masalah itu telah pun diatasi.
Bagi pengunjung dari luar daerah Kudat, Gerai Medan Selera ini mula beroperasi pada sebelah petang sekitar jam 4.30 petang sehingga malam, bergantung kepada kehadiran pelanggan. Hari selesa gerai ini akan ditutup memandangkan para peniaga akan beralih ke kawasan tamu mingguan di pekan baru Tomborungus. Jika anda ingin menghabiskan cuti anda, jangan lupa bawa keluaraga anda berkunjung ke daerah Kudat. WELCOME TO KUDAT
Selepas perlantikan Thamrin sebagai Ketua Perhubungan PKR Sabah seperti yang dijangka ramai pemerhati politik, Dr. Jeffrey Kitingan akhirnya melepaskan semua jawatanya dalam PKR. Dr. Jeffrey bagaimanapun pada awalnya menafikan perletakan jawatanya ada kena mengena dengan perlantikan Thamrin sebagai Ketua Perhubungan PKR Sabah menggantikan Azmin Ali.
Bagi Dr. Jeffery keputusan beliau meletakan semua jawatan dalam PKR itu ada kebenaranya jika benar kepimpinan pusat PKR seperti yang didakwanya melalui akhbar Berita Harian 30 Oktober 2009, yang dipetik sebagai berkata, pemimpin tertinggi parti itu (PKR) tidak memperdulikan suara akar umbi PKR Sabah. Dr.Jeffrey mendakwa DSAI hanya mahu pemimpin Sabah yang boleh dikawal dan tidak berkelibar untuk menjadi Ketua Perhubungan PKR Sabah.
Persoalanya mengapa Dr. Jeffrey meletakan jawatan setelah beliau tidak dilantik sebagai ketua perhubungan PKR Sabah? Mungkinkah Jeffrey tidak berbuat demikian jika pucuk pimpinan parti melantiknya sebagai ketua perhubungan PKR yang baru? Sebagai pemimpin yang berkelibar dan berpengelaman luas dalam bidang politik, Dr. Jeffrey tidak sepatutnya mengambil tindakan secara terburu-buru melepaskan semua jawatanya dalam PKR yang mengakibatkan timbulnya pelbagai tanggapan buruk dan prasangka yang negatif, samada datangnya dari pihak yang sememangnya anti terhadap kepimpinan beliau atau rakyat Sabah terutama masyarakat KDMR yang masih mengharapkan Jeffrey menjadi hero bagi menghadapi kekuatan BN pada PRU13 nanti. Jikapun Dr. Jeffrey mengambil keputusan untuk keluar dari PKR, beliau seharusnya mengambil kira pandangan rakyat Sabah yang menyokong kepimpinanya terlebih dahulu kerana jika perjuangan beliau benar-benar telus, beliau tidak berseorangan dalam hal ini. Rakyat Sabah masih menghargai ‘pengorbanan’ yang pernah beliau lakukan semasa era PBS dulu
Dalam keadaan sekarang Dr. Jeffrey mungkin boleh menyertai PBS walaupun sudah pasti beliau tidak diberikan sebarang jawatan dalam parti itu. Dalam politik, tidak ada istilah musuh kekal dan begitu juga sebaliknya namun rakyat Sabah mungkin memberi tanggapan yang lebih buruk lagi terhadap kepimpinan beliau jika beliau menyertai PBS dalam masa terdekat ini. Kita masih percaya tidak semua rakyat Sabah yang menyokong beliau semasa dalam PKR turut bertindak keluar meninggalkan parti itu jika Dr. Jeffrey menyertai BN.
Kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Itulah gambaran paling tepat tentang gadis tinggi lampai berasal dari kampung Tinutudan Kudat. Farhanna Francis atau lebih dikenali dengan panggilan Anna di kalangan rakan-rakanya amat berbakat dalam bidang nyanyian dan jika bakatnya digilap, gadis berusia 16 tahun ini pasti berjaya dalam bidang nyanyian. Bapa kepada Farhanna, Francis Baharun bukan saja pencipta lagu-lagu tempatan yang semakin mendapat perhatian di negeri Sabah, malah beliau adalah seorang pengiat seni budaya yang cukup aktif mempromosi dan memperkenalkan beberapa tarian kebudayaan etnik Sabah ke luar negara.
Francis Ku Baharun - Pencipta lagu dan penulis lirik lagu 'Sugandoi'
"Saya akan cuba bimbing Anna untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang penyanyi jika diizinkan Tuhan," kata Francis ketika dihubungi Matunggong kini semasa Pesta Gong Matunggong 2009 baru-baru ini. Francis merasa yakin anaknya akan memperolehi kejayaan dalam bidang seni suara melihat kepada pencapaian Farhana yang seringkali mendapat tempat pertama dalam sebarang pertandingan nyanyian yang pernah disertainya.
Farhanna - berdebar menunggu keputusan pemilihan akhir pertandingan nyanyian Pesta Gong Matunggong 2009.
Farhanna yang membawa lagu Sugandoi ciptaan bapanya semasa pertandingan nyanyian pesta Gong Matunggong 2009 itu telah merangkul hadiah johan dan menewaskan 10 peserta lain. Bagi peminat lagu-lagu tempatan, lagu Sugandoi bukan lagi asing bgai mereka disebabkan lagu tersebut selalu mendapat permintaan untuk diputarkan di corong-corong radio tempatan seperti Sabah VFM dan Suria FM.Klik disini untuk baca seterusnya »»
Pesta Gong yang merupakan acara tahunan di daerah kecil Matunggong amat meriah bersesuaian dengan tema kali ini "Gong Warisan Budaya 1malaysia". Pesta Gong yang diadakan setiap tahun di daerah ini bertujuan mempromosi industri pembuatan gong dan pelbagai kraftangan lain kepada pelacong samada dalam atau luar negera disamping bertujuan mengekalkan warisan budaya agar tetap terpelihara. Jawatankuasa Penganjur yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan bukan kerajaan telah bertungkus-lumus menjayakan pesta Gong ini dengan jayanya (walaupun penulis tidak sempat menyakisikan pesta ini pada hari berikutnya (acara kemuncak) disebabkan terpaksa ke luar negara)
Banyak acara menarik yang telah dijalankan pada hari pertama Pesta Gong ini diadakan. Antaranya ialah pertandingan Mongigol Sumundai, Ratu Fesyen kanak-kanak terbuka dan pertandingan nyanyian. Saya sempat membuat sedikit rakaman video dan mengambil beberapa keping gambar pada hari itu. Namun agak malang saya tidak dapat upload semua klip video yang sepatutnya saya kongsikan kepada anda disebabkan talian internet ketika saya mengupdate blog ini terlalu lemah. Apa pun saya telah pilih beberapa gambar untuk dimuatkan dalam blog ini sebagai tontonan anda, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal berdekatan kampung Sumangkap tetapi tidak berkesempatan untuk berpesta pada hari itu, sudah pasti merasa sedikit kekesalan. Diharap photo-photo yang saya paparkan ini sekurang-kurangnya dapat menebus rasa kesal anda..hehe.
Theresa - Cukup anggun dengan pakaian tradisi suku kaum Rungus
Peserta pertandingan tarian Mongigol Sumundai lengkap berpakaian tradisi
Acara pertandingan nyanyian
Antara peserta Ratu Fesyen kanak-kanak Dorothy George - bergaya sakan adik Dorothy ni. Isssh..ingatkan gadis cantik ni dah berumur 16 tahun. Rupa-rupanya baru 12 tahun.
Adik Lorraine Rechal Loren, pemenang tempat pertama - Senyuman seorang ratu
Adik Celinica Donna Masangkin 9 tahun dengan wajah fotogeniknya..
Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Marudu Tina Majawan, berdiri dua dari kiri selepas menyampaikan hadiah kepada ratu fesyen kanak-kanak.
Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong En.Arnold Joibi (berkaca mata)- menentukan pemenang meneka berat gong
Gong dan kraftangan yang terdapat di gerai-gerai menjual cendera kenangan.
Cuba anda lihat petikan-petikan dibawah ini. Beberapa artikel mengenai parti USNO yang telah diasaskan di Kudat oleh Bapa Kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 1961 dan dibubarkan pada tahun 1991 bagi memberi laluan kepada UMNO untuk berkuasa di Sabah.
USNO minta KDN tidak gantung pendaftaran parti
KOTA KINABALU 19 Okt. - Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO 2006) meminta Kementerian Dalam Negeri tidak menggantung keputusan untuk meluluskan pendaftaran semula parti itu.
Presiden Penaja USNO 2006, Perais Sharif Baba berkata, ini kerana bekas ahli-ahli USNO yang masih tidak menganggotai mana-mana parti sudah menunggu keputusan itu selama dua tahun.
"Pihak kami sudah menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar baru-baru ini, dan beliau memberi jaminan akan meluluskan pendaftaran semula USNO dengan nama USNO 2006.
"Bagaimanapun sehingga hari ini, kami masih belum menerima sebarang keputusan dan pihak kementerian seolah-olah menggantung keputusan itu tanpa sebab" katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
USNO yang merupakan parti politik kedua di Sabah, diasaskan pada 1961 di Kudat oleh Bapa Kemerdekaan Sabah merangkap Ketua Menteri Sabah yang ketiga, Tun Datu Mustapha Datu Harun.
Parti berkenaan dibubarkan pada 1991 untuk memberi laluan kepada UMNO bertapak di negeri ini dan kira-kira 90 peratus ahli USNO menyertai UMNO selepas itu.
Perais yang juga bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda USNO berkata, permohonan mendaftarkan semula USNO sudah dimulakan sejak 2006 tetapi ditolak permohonannya pada 2 Julai 2008.
Saya ingin menarik perhatian saudara-saudari terhadap nasib malang yang menimpa Bekas Ahli-Ahli USNO Sabah, berbagai cara dan bentuk gerak kerja telah dilalukan oleh Rakyat Sabah, khasnya mantan Pemimpin-Pemimpin USNO bagi mengembalikan Perjuangan Parti Kemerdekaan Sabah, Parti USNO atau United Sabah Nasional Organisation kembali ke Sabah. Namun permintaan ini terus ditolak oleh Pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia (R.O.S) tanpa memberi alasan.
Sejarah Penubuhan USNO semula telah diusahakan oleh banyak pihak di Sabah, namun dipandang sepi dan diperlekehkan oleh pihak tertentu, bahkan setiap kali ahli USNO dan Generasi Pimpinan muda pelapis USNO berjuang untuk mendaftarnya, dolak-dalik, seribu alasan dibuat oleh pihak ROS bagi melambatkan Pendaftarannya dengan tujuan untuk menghalang dan menolaknya.
Persoalannya apakah Rakyat Sabah tidak berhak untuk menubuhkan Parti dan perjuangannya sendiri? Perlukah mereka terus untuk mematuhi kehendak pihak yang berkuasa dalam Kerajaan bagi melupakan saja Perjuangan Parti Kemerdekaan ini seolah-olah dipaksa untuk duduk diam dalam rumah sendiri tanpa berbuat sesuatu.
Beberapa kumpulan Pejuang Bangsa Sabah-USNO (PBS-USNO) telah cuba untuk menghidupkan semula semangat juang USNO (Parti Kemerdekaan) bagi negeri Sabah ini supaya dapat dibenarkan semula dalam arena politik negara namun semua usaha ini terus gagal atau pendek kata digagalkan oleh orang yang pernah diberikan jasa olehnya.
Semua kegagalan ini adalah berpunca daripada alasan dan teori bahawa USNO boleh memecahkan UMNO di Sabah serta ditakuti akan menjejaskan agenda UMNO di negeri Sabah untuk terus berkuasa tanpa saingan dari parti Bumiputera lain.
USNO mesti dimatikan, USNO mesti dikuburkan supaya tidak boleh menuntut Haknya dalam konsep ’Sharing Power’ dalam kerajaan Barisan Nasional di Sabah, supaya tidak dapat menyuarakan ‘HAK’nya dalam ‘Perjanjian Malaysia’ yang didasari ‘20 Perkara.’
Dengan mematikan dan menguburkan USNO, UMNO boleh mengawal kerajaan Sabah secara mutlak dari pusat hingga ke akar umbi rakyat Sabah, tanpa parti-parti Komponen Sabah yang lain seperti PBS, UPKO, PBRS dan LDP kerusi komponen ini mesti dipastikan tidak mencapai 50% suara atau ½ jumlah ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.
SAYA amat tertarik idea penubuhan USNO semula. Tetapi kita perlu akui kesukaran yang kita hadapi untuk mendaftarkan kepada pihak ROS memang amat perit. Saya mencadangkan pihak saudara perlu mendapatkan sokong parti PBS yang pada pendapat saya merupakan regu terbaik di kalangan parti tempatan lain.
Hanya gabungan USNO-PBS saja yang mampu menambat minat penduduk Sabah, kerana para pemimpin asalnya sahaja sanggup mengorbankan parti demi keamanan rakyat Sabah dan saya beranggapan, sudah sampai masanya rakyat Sabah perlu mentadbir dan menentukan perjalan kemajuan anak bangsa sendiri.
Sudah cukup lama kita dicucuk hidung dan pemimpin Kerajaan Sabah sekarang hanya menurut percaturan UMNO sehinggakan Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia.
Saya cukup mencemburui rakyat Sarawak dan mungkin kita perlu mencontohi mereka kerana berani menentang kedatangan UMNO.
Despicable Me (2010)
-
Full Movie Despicable Me Full MovieWatch Movie Despicable Me Movie
Streaming with duration 95 Min and broadcast on 2010-07-08 with MPAA rating
is 3557.
...
-
assalammualaikum w.b.t
Praise be to Allah wlupn sy mmg t'sangat la jarang menghupdate blog sy
ni..tetiba pd malam hr ni 16/11/2014 terdetik pla hati ni nak ...
RCI Skandal X-Files
-
Saksikan video pendedahan RCI dari mantan tahanan ISA yang juga mantan
Pegawai JPN Sabah berhubung pemberian 40,000 IC Projek kepada PATI di
Sabah. Mari ...
Hak dan keistimewaan melayu dari kacamata PM
-
Sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan lima buah negeri dari
tangan Barisan Nasional (BN) pada PRU12 dua tahun lalu, sejak itulah
orang-orang m...
Air layering technique
-
Cutting taken from branches that have grown as thick as your fingers stand
little if any chance of taking. They have to be rooted by a technique known
as a...
Sebarang maklumat, artikel, pandangan atau bahan penulisan yang tertera dalam blog ini yang bukan ditulis atau disediakan oleh pemilik blog adalah menjadi tanggungjawab atau liabiliti sepenuhnya penyumbang atau penghantar bahan berkenaan dan pemilik blog menafikan sebarang tanggungjawab atau liabiliti ke atas bahan itu.
NOTA KEPADA PEMBACA
Hak cipta semua bahan penulisan dalam blog ini adalah terpelihara. Pembaca, pengunjung boleh menyalin bahan tulisan dalam blog ini dengan syarat anda perlu membuat link http://matunggongkini.blogspot.com . Ini bertujuan bagi mengelak timbulnya sebarang kekeliruan atau salah faham daripada penyiaran semula bahan berkenaan dalam blog atau website anda.